Malaysia wakil tunggal Asia Tenggara tembus Tier B Festival & Piala Dunia B-15

Kenyataan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan/ FAM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober – Malaysia muncul sebagai satu-satunya wakil Asia Tenggara yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok Tier B pada Festival dan Piala Dunia Bawah 15 Tahun (B-15) FIFA 2026 di Baku, Azerbaijan sekali gus mencipta pencapaian membanggakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skuad B-15 negara tamat Kumpulan H sebagai naib juara dengan tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
  • Prestasi kumpulan mengesahkan tempat ke pusingan 32 Tier B kejohanan.
  • Presiden FAM Datuk Ab Ghani memuji usaha, komitmen dan semangat juang barisan pemain dan jurulatih.
  • Pasukan akan berdepan Afrika Selatan pada pusingan 32 dengan harapan mencipta satu lagi kejayaan membanggakan.

Skuad muda negara kendalian P. Maniam menamatkan saingan Kumpulan H selaku naib juara selepas mencatat tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan, sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 32 terbaik Tier B.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan dalam kenyataan menyifatkan pencapaian itu sebagai bukti kemampuan pemain muda negara bersaing di pentas antarabangsa, selain mencerminkan perkembangan positif bola sepak akar umbi negara.

“Saya berasa gembira dan berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan skuad bola sepak B-15 kebangsaan kendalian P. Maniam pada Festival dan Piala Dunia B-15 FIFA 2026 di Baku, Azerbaijan.

“Lebih membanggakan, Malaysia muncul sebagai satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya melangkah ke Tier B, sekali gus membuktikan kemampuan barisan pemain muda negara untuk bersaing di pentas antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Tier B merupakan kelompok kedua tertinggi kejohanan berkenaan, membabitkan pasukan yang berada di kedudukan ke-33 hingga ke-64 berdasarkan prestasi pada peringkat kumpulan.

Menurut Datuk Ab Ghani, pencapaian itu wajar diberikan pengiktirafan kerana mencerminkan usaha, komitmen, disiplin dan semangat juang tinggi barisan pemain sepanjang mengharungi cabaran menentang pasukan dari pelbagai negara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemain serta seluruh barisan kejurulatihan atas kerja keras dan dedikasi mereka dalam mempersiapkan pasukan sehingga berjaya mencatatkan keputusan yang membanggakan ini.

“Saya juga menghubungi P. Maniam setiap hari bagi mendapatkan perkembangan terkini pasukan, selain menyampaikan kata-kata semangat kepada para pemain menerusi pesanan suara sebelum mereka turun beraksi.

“Saya turut mendoakan pasukan remaja negara ini dapat mencipta satu lagi kejayaan membanggakan apabila turun beraksi pada pusingan 32 Tier B bertemu Afrika Selatan esok, 28 Oktober 2026,” tambah kenyataan itu.

Kejohanan yang julung kali dianjurkan itu disertai 191 negara yang dibahagikan kepada 24 kumpulan, dengan kedudukan akhir peringkat kumpulan menentukan penempatan pasukan dalam Tier A hingga F bagi saingan seterusnya yang dijadual berlangsung dari 28 hingga 30 Oktober.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.