
KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang bermula semalam dijangka berterusan sehingga Mac tahun depan.
- Hujan lebat berulang antara November hingga Januari, risiko banjir di kawasan rendah dan dekat sungai.
- Laut bergelora dan kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan berkemungkinan berlaku.
- Menjelang fasa akhir cuaca jadi lebih panas dan kering, berpotensi gelombang haba lebih ekstrem akibat El Niño.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November tahun ini hingga Januari 2027.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai, selain laut bergelora serta kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan
“Saya amat berharap agar orang ramai sentiasa bersiap sedia, mengutamakan keselamatan dan kekal peka terhadap sebarang perubahan cuaca yang berlaku sepanjang MTL 2026/2027 ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Tambah beliau, menjelang fasa akhir MTL pada Januari hingga Mac tahun depan, taburan hujan pula dijangka berkurangan, terutama di utara Semenanjung dan Sabah.
“Peralihan ini akan membawa kepada cuaca yang lebih panas dan kering, malah berpotensi mencetuskan kejadian gelombang haba yang lebih ekstrem ekoran pengaruh fenomena El Niño yang sangat kuat,” katanya.
Orang ramai juga disaran mendapatkan maklumat, ramalan dan amaran cuaca terkini menerusi laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) di www.met.gov.my, aplikasi myCuaca atau talian hotline 1-300-22-1638.