Aksi pemanas Piala Dunia: Pengendali New Zealand kecewa aksi hambar, akui Haiti beri pengajaran berguna

Foto AFP

FORT LAUDERDALE , 2 Jun – Pengendali New Zealand, Darren Bazeley, menyifatkan kekalahan memalukan 4-0 kepada Haiti sebagai satu ‘pengajaran yang sangat berguna’ buat pasukannya sebelum memulakan kempen Piala Dunia yang berbaki beberapa hari sahaja lagi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bazeley terkejut dengan persembahan hambar, walaupun skuad telah menjalani seminggu latihan penyesuaian cuaca di Florida.
  • Semua pemain berada dalam bilik persalinan dalam keadaan amat kecewa selepas perlawanan.
  • Pertahanan rapuh dihukum menerusi jaringan Ruben Providence, Lenny Joseph, Frantzdy Pierrot dan Markhus Lacroix.
  • Tiada sepakan penalti diberikan selepas pelanggaran ke atas Tim Payne, disulitkan ketiadaan sistem Video Bantuan Pengadil.

Bazeley melahirkan rasa terkejut dengan persembahan hambar anak buahnya dalam aksi pemanas badan itu, meskipun skuad yang di gelar All Whites telah menjalani kem latihan penyesuaian cuaca selama seminggu di Florida.

“Ini adalah pengajaran yang sangat berguna buat kami, terutamanya dengan perlawanan sukar yang bakal menjelang.

“Semua pemain berada di dalam bilik persalinan dalam keadaan amat kecewa,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Inter Miami CF, semalam.

Kekalahan besar itu turut merosakkan malam bersejarah buat penyerang Nottingham Forest, Chris Wood, yang turun selaku ketua pasukan untuk memecahkan rekod penampilan terbanyak negaranya dengan 89 kaps, mengatasi Ivan Vicelich.

Pada aksi berkenaan, kerapuhan benteng pertahanan New Zealand dihukum seawal minit ke-12 menerusi jaringan Ruben Providence, sebelum pemain gantian Lenny Joseph menggandakan kedudukan 2-0 buat Haiti pada minit ke-51.

Penyokong Haiti terus ceria apabila Frantzdy Pierrot menanduk masuk gol ketiga pada minit ke-62, sebelum Markhus Lacroix melengkapkan malam gemilang pasukan tangga ke-82 dunia itu dengan rembatan padu jarak jauh pada minit ke-87.

New Zealand berpeluang merapatkan jurang pada minit ke-17 apabila pemain pertahanan, Tim Payne, dijatuhkan dalam kotak penalti selepas dikasari penjaga gol Haiti, Jhony Placide.

Namun pengadil tidak memberikan sepakan penalti selain ketiadaan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

Tindakan Bazeley memasukkan Max Crocombe bagi menggantikan penjaga gol utama, Alex Paulsen, pada babak kedua juga gagal menyekat kebangkitan Haiti.

Haiti yang kembali ke pentas Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 52 tahun dijadualkan menentang Scotland, Brazil, dan Maghribi dalam aksi peringkat kumpulan nanti.

Sementara itu, New Zealand mempunyai satu lagi baki perlawanan pemanas badan menentang England pada Sabtu ini, sebelum membuka tirai kejohahanan menentang Iran, Mesir, dan Belgium. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.