Hatrik Felix bawa Al Nassr hampiri gelaran liga

Penyerang Al Nassr, Joao Felix (tiga dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan termasuk kapten pasukan, Cristiano Ronaldo/Foto REUTERS

RIYADH, 8 Mei – Al Nassr kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Al Shabab 4-2 dalam aksi Liga Pro Saudi, di sini, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Joao Felix meledak hatrik ketiganya sejak menyertai pasukan tahun lalu.
  • Felix buka jaringan pada minit ketiga dan tambah gol kedua tujuh minit kemudian.
  • Yannick Carrasco rapatkan jurang pada minit ke-20 selepas kesilapan Abdullah Al Khaibari.
  • Ronaldo jaring pada minit 75 hasil hantaran Sadio Mane; Felix lengkapkan hatrik dari penalti masa kecederaan, kekalkan Al Nassr puncak liga.

Penyerang Portugal, Joao Felix muncul wira pasukan apabila meledak hatrik ketiganya sejak menyertai pasukan tahun lalu.

Felix membuka jaringan seawal minit ketiga sebelum menambah gol kedua tujuh minit kemudian untuk meletakkan pelawat selesa mendahului 2-0.

Memasuki minit ke-20, bekas pemain Atletico Madrid, Yannick Carrasco merapatkan jurang buat Al Shabab selepas memanfaatkan kesilapan pemain tengah Al Nassr, Abdullah Al Khaibari.

Bagaimanapun, Al Nassr kembali melebarkan kedudukan menerusi jaringan kapten pasukan, Cristiano Ronaldo yang menyempurnakan hantaran Sadio Mane pada minit ke-75.

Tuan rumah sekali lagi cuba bangkit menerusi jaringan Ali Al Bulayhi sebelum Felix melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Jorge Jesus kekal mengungguli carta liga dengan kelebihan lima mata menjelang aksi penting menentang Al Hilal, Rabu ini. – REUTERS