Permohonan pinjaman hartanah susut 4.0 peratus pada Ogos

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Permohonan pinjaman bagi pembelian hartanah menyusut 4.0 peratus tahun ke tahun kepada RM58.4 bilion pada Ogos 2026, mencerminkan sentimen pembeli yang semakin berhati-hati.

RINGKASAN BERITA AI
  • Permohonan pinjaman merosot 7.2 peratus berbanding Julai, menunjukkan kehati-hatian pembeli.
  • Jumlah Januari hingga Ogos meningkat kecil 1.3 peratus tahun ke tahun kepada RM440.8 bilion.
  • Jumlah pinjaman diluluskan jatuh 13.1 peratus tahun ke tahun dan 12.4 peratus bulan ke bulan kepada RM23.8 bilion.
  • Kadar kelulusan turun kepada 40.8 peratus; lebihan hartanah tidak terjual menjadi risiko utama kepada pasaran pemaju.

Menurut MBSB Research, jumlah permohonan itu turut merosot 7.2 peratus berbanding Julai, namun perkembangan beberapa bulan akan datang perlu diperhatikan bagi menentukan sama ada kelemahan tersebut berterusan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, prestasi bagi tempoh Januari hingga Ogos masih menunjukkan peningkatan kecil sebanyak 1.3 peratus tahun ke tahun kepada RM440.8 bilion.

“Secara keseluruhan, sentimen pembelian hartanah masih stabil meskipun pengguna kekal berhati-hati berikutan persekitaran kos yang lebih tinggi,” menurut firma itu dalam nota penyelidikannya.

MBSB Research menjangkakan tekanan inflasi yang berterusan akan terus mempengaruhi keputusan pembelian dan berpotensi mengekang permintaan hartanah.

Dalam perkembangan berkaitan, jumlah pinjaman yang diluluskan turut mencatat penurunan lebih ketara pada Ogos, iaitu 13.1 peratus tahun ke tahun dan 12.4 peratus berbanding bulan sebelumnya kepada RM23.8 bilion.

Kadar kelulusan pinjaman juga menurun kepada 40.8 peratus berbanding 45.0 peratus pada Ogos 2025 dan 43.2 peratus pada Julai 2026.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, jumlah pinjaman yang diluluskan menyusut 1.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM185.8 bilion.

Menurut firma itu, perkembangan berkenaan mencerminkan persekitaran yang lebih mencabar bagi sektor hartanah, khususnya dalam kalangan pemaju.

Peningkatan lebihan hartanah yang tidak terjual turut dikenal pasti sebagai antara risiko utama yang boleh terus memberi tekanan kepada pasaran.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.