Belanjawan 2027: Pesawah harap insentif, infrastruktur ditambah baik

Foto Fail BERNAMA

PENDANG, 7 Oktober – Semakan insentif dan penambahbaikan infrastruktur pertanian dalam sektor penanaman padi antara aspirasi pesawah di Kedah menjelang pembentangan Belanjawan 2027, Jumaat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Minta kaji semula insentif, subsidi dan harga padi supaya sesuai dengan kos pengeluaran dan menarik minat generasi muda.
  • Tingkatkan penyenggaraan sistem pengairan, bersihkan saliran tersumbat dan baiki jalan ladang termasuk di kawasan luar MADA.
  • Kos sara hidup yang meningkat membebankan pesawah; pendapatan jarang perlu menampung keperluan harian dan musim penanaman seterusnya.

Bagi mereka, perhatian terhadap aspek berkenaan penting bagi mengurangkan beban kos pengeluaran, meningkatkan hasil tanaman serta menjamin kelangsungan sektor padi sebagai sumber bekalan makanan negara.

Salah seorang pesawah, Muhamad Afiq Wadi Abd Manaf berpandangan, kadar insentif dan subsidi pertanian wajar dikaji semula supaya bantuan yang disalur lebih sepadan dengan kos pengeluaran semasa.

“Saya harap kerajaan dapat mengkaji semula kadar insentif, subsidi ataupun harga padi untuk membantu petani dari segi kos pada musim ini dan musim seterusnya.

“Dengan bantuan dan insentif yang diberikan, ia dapat menaikkan lagi semangat, terutama golongan muda,” katanya.

Abd Razak Wahab turut sependapat bahawa sektor penanaman padi perlu menawarkan pulangan yang lebih menarik bagi menggalakkan penyertaan generasi muda.

Katanya, peluang pekerjaan dalam sektor perindustrian menjadi antara pilihan golongan muda, sekali gus menuntut pendekatan baharu bagi meningkatkan daya tarikan bidang pertanian.

“Kerajaan perlu memikirkan masa depan golongan muda kerana sekarang ramai yang kurang berminat dalam pertanian dan beralih ke sektor industri.

“Kalau mahu menarik minat mereka, kerajaan kena buat inisiatif, termasuk mempertimbangkan kenaikan harga padi,” katanya.

Bagi Abdul Rashid Ismail pula, penyenggaraan sistem pengairan perlu dipertingkat bagi memastikan bekalan air dapat disalur dengan lancar ke kawasan sawah.

“Saya berharap pihak kerajaan ataupun Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi tumpuan untuk membersihkan saliran yang tersumbat supaya air dapat mengalir ke sawah yang diusahakan petani,” katanya.

Selain sistem pengairan, beliau juga mahu penambahbaikan jalan ladang diberi perhatian, termasuk di kawasan luar MADA bagi memudahkan urusan pertanian.

Sementara itu, Bukhari Abdul Majid berkata, peningkatan kos sara hidup memberi tekanan kepada pesawah yang bergantung kepada pendapatan hasil tuaian.

Menurutnya, pendapatan yang diperoleh kira-kira empat bulan sekali perlu menampung pelbagai keperluan harian, selain perbelanjaan bagi musim penanaman seterusnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.