
KUALA LUMPUR, 7 Oktober – Dana Impak oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berhasil membantu syarikat tempatan meningkatkan skala perniagaan untuk bersaing di peringkat serantau dan global.
- Dana Impak menyediakan pembiayaan, pembangunan keupayaan dan kerjasama untuk membantu syarikat tempatan berkembang ke peringkat serantau dan global.
- Syarikat memerlukan suntikan modal, bakat khusus, teknologi, piawaian antarabangsa serta rangkaian dan akses pasaran luar untuk mencapai fasa pertumbuhan seterusnya.
- Kejayaan Dana Impak dinilai melalui keupayaan menarik modal swasta, meningkatkan produktiviti, menjana pekerjaan berkemahiran dan menembusi pasaran antarabangsa.
Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata bagi mencapai tahap itu, syarikat berkenaan memerlukan lebih suntikan modal termasuk bakat khusus, teknologi, rangkaian global serta akses kepada pasaran luar.
“Pendekatan Dana Impak yang merangkumi pembiayaan, pembangunan keupayaan serta kerjasama dapat membantu syarikat yang mempunyai potensi ke fasa pertumbuhan seterusnya.
“Mereka memerlukan pengurusan yang lebih profesional bakat-bakat khusus, teknologi, piawaian antarabangsa, rangkaian global dan juga akses kepada pasaran luar.
“Jadi sebuah syarikat mungkin memiliki produk yang sangat bagus di pasaran Malaysia tetapi belum tentu mempunyai keupayaan organisasi untuk beroperasi di luar negara seperti di 5 ataupun 10 negara,”katanya.
Tambahnya, keupayaan Dana Impak menarik 48 sen modal luar bagi setiap RM1 yang dilaburkan Khazanah sebagai petunjuk positif kepada peranan dana itu sebagai pemangkin pelaburan.
Kejayaan Dana Impak dalam jangka panjang juga perlu dinilai berdasarkan keupayaan menarik lebih banyak modal swasta serta membantu syarikat menjadi lebih produktif, menawarkan pekerjaan berkemahiran dan menembusi pasaran antarabangsa.
Dana Impak setakat ini telah menggerakkan pelaburan berjumlah RM2.6 bilion bagi menyokong kira-kira 130 syarikat serta lebih 4,200 bakat di Malaysia.