162,730 transaksi CRS diluluskan

SSM melanjutkan pengecualian fi lewat serah simpan melalui CRS sehingga 31 Disember 2026/Foto FB Suruhanjaya Syarikat Malaysia

BAYAN LEPAS, 7 Oktober – Penyampaian perkhidmatan kepada komuniti perniagaan menerusi pendigitalan dan penambahbaikan sistem pendaftaran korporat terus diperkukuh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • SSM melanjutkan pengecualian fi lewat serah simpan melalui CRS sehingga 31 Disember, memberi ruang pihak berkepentingan menyelesaikan urusan serah simpan.
  • Dialog tahunan menjadi platform komunikasi dua hala bagi SSM mendengar, meneliti isu serta berkongsi maklumat perundangan, dasar, operasi dan penguatkuasaan.
  • Program fokus pelaksanaan CRS, Klinik Pematuhan, Kempen Pemulihan Serah Simpan 2026 serta cadangan pindaan Akta Syarikat berkaitan pelaporan kemampanan dan Arahan Amalan 11/2026.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Rezy Izwan Ramly berkata, usaha berkenaan dilaksana menerusi Sistem Pendaftaran Korporat (CRS) yang mencatatkan 162,730 transaksi diluluskan, termasuk 9,514 pemerbadanan syarikat setakat 15 September lepas.

“Bagi memudah cara urusan serah simpan, SSM turut melanjutkan pengecualian fi lewat serah simpan melalui CRS sehingga 31 Disember ini bertujuan memberi ruang kepada pihak berkepentingan menyelesaikan urusan serah simpan yang berkaitan serta memenuhi tanggungjawab pematuhan masing-masing,” katanya menerusi kenyataan sempena anjuran Dialog Tahunan SSM 2026 Peringkat Zon Utara pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan, dialog berkenaan menjadi platform komunikasi dua hala bagi SSM mendengar, memahami, meneliti isu serta cabaran yang dihadapi komuniti perniagaan dan korporat.

“Platform itu turut membolehkan SSM berkongsi maklumat serta memberikan penjelasan mengenai perkembangan semasa berkaitan perundangan, dasar, operasi dan penguatkuasaan.

“Program memberi fokus kepada perkongsian mengenai pelaksanaan CRS, Klinik Pematuhan dan Kempen Pemulihan Serah Simpan 2026 yang turut meliputi cadangan pindaan Akta Syarikat 2016 berkaitan Kerangka Pelaporan Kemampanan, selain penerangan mengenai Arahan Amalan 11/2026 berkaitan serah simpan maklumat pemegang saham dan modal saham,” katanya lagi.

Sesi dialog tahunan itu merupakan sesi pertama tahun ini dan bakal disusuli dengan sesi dialog di Kuching, Sarawak pada 12 Oktober dan di Kota Kinabalu, Sabah pada ⁠14 Oktober.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.