
SEPANG, 4 Oktober- Keputusan untuk meneruskan penganjuran Formula 1 (F1) di Malaysia bergantung kepada pertimbangan kerajaan khususnya dari aspek kemampuan kewangan, kata Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir.
- MAM mahu F1 diteruskan tetapi perlumbaan memerlukan sumber ekonomi dan pembiayaan yang mencukupi, mungkin memerlukan sedikit bantuan kerajaan.
- Litar Antarabangsa Sepang masih berpengalaman dan mampu mengendalikan perlumbaan bertaraf F1 walaupun tidak menjadi tuan rumah sejak sembilan tahun.
- Penganjuran F1 Gulf Air Bahrain GP 2026 memberi limpahan ekonomi kepada pelancongan, penginapan, makanan dan penerbangan di Malaysia.
- Permintaan kuat terlihat dengan kira-kira 105,000 tiket terjual dan hotel penuh; perlu penilaian menyeluruh kesan ekonomi dan kesan gandaan sebelum keputusan.
Beliau berkata MAM sentiasa mahu F1 diteruskan di Malaysia, namun penganjuran perlumbaan itu memerlukan sumber ekonomi dan pembiayaan yang mencukupi.
“MAM sememangnya mahu Formula 1 diteruskan, sama seperti kita mahu MotoGP diteruskan. Namun, ia bergantung kepada sumber ekonomi dan pembiayaan, dan kita mungkin memerlukan sedikit bantuan daripada kerajaan,” katanya ketika ditemui di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.
Tan Sri Mokhzani berkata dari sudut keupayaan litar dan operasi, SIC masih mempunyai pengalaman serta kemampuan mengendalikan perlumbaan bertaraf F1 meskipun sudah sembilan tahun tidak menjadi tuan rumah.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) di Malaysia 2026 di Sepang ketika ini memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, penginapan, makanan dan minuman serta penerbangan.
Katanya, kira-kira 4,000 pelancong dari Bahrain dilaporkan berada di Malaysia sempena perlumbaan itu, dengan sebahagiannya turut mengunjungi destinasi pelancongan lain.
“Hotel-hotel di Kuala Lumpur dipenuhi pelancong, khususnya dari Bahrain. Mereka bukan sahaja berada di sini sepanjang hujung minggu perlumbaan, malah sudah tiba sejak Rabu dan dijangka berlepas pada Isnin,” katanya.
Tan Sri Mokhzani berkata sambutan terhadap kepulangan F1 selepas kali terakhir dianjurkan di Sepang pada 2017 turut menunjukkan permintaan tinggi terhadap sukan permotoran berkenaan, dengan kira-kira 105,000 tiket telah terjual.
Beliau berkata penilaian menyeluruh terhadap kesan ekonomi dan kesan gandaan perlu dibuat sebelum sebarang keputusan mengenai penganjuran F1 pada masa akan datang dipertimbangkan.
Ditanya apakah formula kontrak yang sesuai untuk Malaysia kembali menjadi tuan rumah F1, Tan Sri Mokhzani berkata kontrak lima tahun dengan format “tiga + dua” merupakan susunan yang ideal, kerana ia memberikan lebih kepastian kepada penganjur, peminat dan pengurusan Formula 1.
“Selalunya ia kontrak lima tahun. Tiga campur dua, kita mahu penonton jika mahu datang dapat merancang, dengan (perancangan) tahun pertama, mungkin sekiranya bagi mereka yang belum pernah datang ke Malaysia, mereka mahu lihat apa yang ada.
“Kemudian, pada tahun kedua mereka dapat rancang di hotel mana mereka boleh menginap, ke mana mahu pergi sebelum dan selepas itu (perlumbaan F1). Ini juga memberi peluang kepada pengurusan F1 untuk menjadualkan perlumbaan di negara kita dengan lebih mudah,” katanya.
Mengulas cadangan supaya Malaysia dan Singapura menganjurkan F1 secara bergilir-gilir, Tan Sri Mokhzani berkata perkara itu sukar direalisasikan kerana Singapura dijangka tidak melepaskan hak penganjuran tahunan mereka.
Katanya, kedua-dua negara juga tidak pernah berkongsi giliran sejak Singapura menyertai kalendar F1 pada 2008 sehingga Malaysia menghentikan penganjuran pada 2017.
Tan Sri Mokhzani berkata perlumbaan di Sepang dan Singapura menawarkan pengalaman berbeza dari segi teknikal dan suasana, dengan Sepang menganjurkan perlumbaan pada waktu siang di litar kekal, manakala Singapura pada waktu malam di litar jalan raya.
“Peminat F1 boleh memilih untuk datang ke sini, pergi ke Singapura, atau menyaksikan kedua-duanya sekali. Namun, situasi untuk kita bergilir secara selang-seli memang tidak mungkin berlaku,” katanya.