F1: ‘Semua pelumba sukakan litar Sepang’ – Jazeman

Litar Antarabangsa Sepang (SIC)/ (Foto kecil: Jazeman Jaafar)/ RTM

SEPANG, 4 Oktober- Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini kekal sebagai antara litar klasik moden terbaik dunia, kata pelumba empat roda negara, Jazeman Jaafar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Reka bentuk trek lebar dan teknikal membenarkan ruang memotong dan memanfaatkan sistem bateri hibrid jentera moden.
  • Tahap cengkaman rendah menyukarkan pencapaian window prestasi tayar, mungkin memaksa pasukan guna strategi dua hentian pit.
  • Walau begitu, pelumba tetap menghargai reka bentuk mencabar Sepang yang sediakan aksi perlumbaan kompetitif dan peluang teknik berlainan.

Beliau berkata reka bentuk trek yang lebar dan teknikal bukan sahaja menawarkan ruang memotong yang mencukupi, malah membolehkan pelumba memanfaatkan sistem bateri hibrid jentera moden secara maksimum.

“Sepang diiktiraf sebagai salah satu litar ‘modern classic’. Semua pelumba sukakan litar ini. George Russell sendiri menyatakan trek ini amat hebat, manakala Lewis Hamilton menganggap Sepang antara litar terbaik di dunia.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya amat berbangga kita memiliki kemudahan seperti ini dan kita perlu memanfaatkannya sepenuhnya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jazeman berkata tahap cengkaman rendah di permukaan trek mungkin mempengaruhi percaturan pasukan Formula 1 (F1) Gulf Air Bahrain Grand Prix (GP) di Malaysia 2026 termasuk kemungkinan penggunaan strategi dua hentian pit pada perlumbaan petang ini.

Beliau berkata keadaan berkenaan menyukarkan pemandu mendapatkan jendela prestasi tayar yang optimum, sekali gus menjadikan strategi perlumbaan lebih mencabar.

“Saya bersetuju dengan pandangan pemandu-pemandu lain. Saya sendiri berlumba di sini dan tahap cengkamannya memang sangat rendah. Jadi, untuk mencari window itu amat sukar.

“Malah, ada yang mula bercakap mengenai strategi dua hentian pit, sedangkan kebiasaannya mereka hanya melakukan satu hentian,” katanya.

Jazeman berkata keadaan trek itu bagaimanapun tidak mengubah pandangan pelumba terhadap keistimewaan Sepang yang mempunyai reka bentuk mencabar dan sesuai untuk perlumbaan kompetitif.

Katanya, keupayaan litar menyediakan ruang memotong serta ciri teknikal yang pelbagai menjadikan Sepang antara venue yang mampu memberikan cabaran berbeza kepada pelumba.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.