
JAKARTA, 19 September – Indonesia menyambut baik tawaran Malaysia untuk membantu menangani kebakaran dan jerebu di Kalimantan.
- Presiden Prabowo memberi keizinan terhadap tawaran bantuan Malaysia.
- Bantuan akan digerakkan melalui NADMA bersama kementerian, jabatan dan agensi; Mohamad Hasan diminta menyelaras penglibatan.
- Usaha termasuk perancangan jangka panjang mengelakkan jerebu berulang; Kalimantan dan Sumatera berdepan kebakaran serta 1,426 kawasan berisiko.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto memberi keizinan terhadap tawaran berkenaan.
Bantuan akan digerakkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bersama kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyelaras penglibatan semua pihak bagi memastikan operasi bantuan dilaksanakan secara teratur.
“Keizinan telah diperoleh daripada Presiden Prabowo, tentunya koordinasi di peringkat kementerian, jabatan dan agensi perlu dilakukan.
“Saya mengharapkan Kementerian Luar dalam melaksanakan koordinasi ini dapat memastikan semua pihak yang terlibat dalam operasi berkenaan menjalankan usaha secara terselaras.
Perkara itu bagi memastikan ia tidak menimbulkan kesalahan di pihak pemerintah Indonesia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Usaha itu bukan sekadar bagi menangani kebakaran dalam tempoh terdekat, sebaliknya turut melibatkan perancangan jangka panjang bagi mengelakkan masalah jerebu berulang.
Kalimantan kini merekodkan kira-kira 1,426 berisiko terbakar, selain beberapa wilayah lain termasuk Sumatera yang turut berdepan kebakaran.