SPR terima notis rasmi pembubaran DUN Melaka

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 September – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi menerima notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pembubaran DUN Melaka Ke-15 berkuat kuasa 23 September 2026 menurut Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.
  • Fasal (4) Perkara 19 menetapkan PRN diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.
  • Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16 selepas menghadap Yang Dipertua Negeri.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun menerusi satu kenyataan memaklumkan, notis berkenaan diterima daripada Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum menerusi surat bertarikh 22 September.

“Pembubaran DUN Melaka Ke-15 akan berkuat kuasa pada 23 September 2026, selaras dengan Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

“Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka menetapkan pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, satu mesyuarat khas akan diadakan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Tarikh mesyuarat akan dimaklumkan kemudian.

Terdahulu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa Rabu, 23 September 2026 bagi memberi laluan kepada PRN Melaka ke-16 selepas beliau menghadap Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.