Akta Kebebasan Maklumat perkukuh keterbukaan kerajaan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 September – Pelaksanaan Akta Kebebasan Maklumat dijangka memperkukuh keterbukaan kerajaan dalam penyampaian maklumat kepada rakyat, sekali gus memastikan fakta yang tepat dan sahih dapat diakses masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Akta mengubah cara fikir penjawat awam supaya lebih proaktif menyampaikan maklumat yang boleh diberikan.
  • Kerajaan tidak mengawal pandangan rakyat; perlu bertindak pantas menanggani penyebaran maklumat tidak tepat.
  • Pemeriksaan fakta: mengesan, mengesahkan dan menyelaras dengan agensi berkaitan untuk membetulkan maklumat palsu.
  • Kritikan berasas harus diakui dan diperbaiki; keterbukaan memerlukan kerjasama semua pihak serta pertimbangan keselamatan dan ekonomi.

Ketua Pengarah Bahagian Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman berkata, pelaksanaan akta itu turut penting dalam mengubah cara fikir penjawat awam supaya lebih proaktif menyampaikan maklumat yang sememangnya boleh diberikan kepada rakyat.

Menurutnya, dalam era lambakan maklumat di media sosial, kerajaan tidak menghalang rakyat daripada memberikan pandangan, sebaliknya perlu bertindak pantas menangani penyebaran maklumat tidak tepat.

“Kerajaan tidak mengawal pandangan rakyat. Rakyat boleh memberikan pandangan seluas mungkin. Apa yang kerajaan ingin tangani ialah penyebaran maklumat palsu atau tidak tepat.

“Kerajaan perlu mengesan maklumat itu dengan cepat, mengesahkan fakta yang ada dan menyelarasnya dengan agensi berkaitan. Jika maklumat itu palsu, kita betulkan fakta tersebut,” katanya ketika menjadi tetamu dalam sesi bual Bicara Naratif di Angkasapuri, hari ini.

Tambah beliau, sekiranya kritikan yang disuarakan rakyat mempunyai asas, kerajaan perlu mengakui kelemahan berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki keadaan.

Katanya, pendekatan itu bukan bertujuan mengawal pemikiran rakyat, sebaliknya memastikan masyarakat menerima maklumat berdasarkan fakta yang telah disahkan.

Dalam pada itu, Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu dan kini dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian lanjut.

Pelaksanaan akta itu bagaimanapun tetap mengambil kira batas tertentu, khususnya perkara berkaitan kepentingan keselamatan dan ekonomi negara.

Beliau menegaskan, usaha memperkukuh keterbukaan dan reformasi memerlukan kerjasama semua pihak supaya rakyat bukan sahaja mempunyai akses kepada maklumat, malah dapat membuat penilaian berdasarkan fakta yang sahih.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.