
PUTRAJAYA, 22 September – Masyarakat tidak wajar bergantung sepenuhnya kepada kecerdasan buatan (AI) untuk mendapatkan maklumat berkaitan hadis dan hukum agama, sebaliknya perlu merujuk pihak berautoriti.
- AI boleh dimanfaatkan sebagai alat bantuan, tetapi penggunaannya mesti disertai disiplin ilmu dan bimbingan pakar.
- Soalan hukum dan hadis perlu dirujuk kepada institusi berautoriti seperti JAKIM dan Jabatan Mufti.
- Disiplin keilmuan penting untuk memastikan panduan agama tepat dan sesuai dengan metodologi ilmu.
- Perkembangan AI dan pendigitalan tidak boleh menggantikan nilai kejujuran serta integriti manusia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, AI boleh dimanfaatkan sebagai alat bantuan, namun penggunaannya perlu disertai disiplin ilmu dan bimbingan mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang agama.
“Artificial Intelligence dia adalah tool yang boleh membantu. Tetapi kita tak boleh bergantung sepenuhnya.
“Ianya perlu ada disiplin keilmuan. Jadi saya galakkan untuk sama-sama selain daripada AI, kita perlu berguru,” katanya ketika ditemui pemberita pada GHaS Night: Celebrating Muslim-Friendly Malaysia 2026 sempena Global Halal Summit (GHaS) 2026 di Putrajaya.
Menurut beliau, persoalan berkaitan hukum dan masalah agama boleh dirujuk kepada institusi berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan masyarakat mendapat panduan yang tepat serta bersesuaian dengan disiplin ilmu agama.
Dalam ucapannya pada GHaS Night, beliau turut menyentuh perkembangan AI dan pendigitalan dalam ekosistem halal, namun menegaskan teknologi tidak boleh menggantikan nilai kejujuran dan integriti manusia.
GHaS 2026 berlangsung sepanjang September bersempena Bulan Halal Negara, menghimpunkan pelbagai inisiatif, kepakaran dan pemegang taruh dalam usaha memperkukuh ekosistem halal di peringkat nasional dan antarabangsa.