101 badan pensijilan halal dari 51 negara sertai GHaS 2026

Foto RTM

PUTRAJAYA, 22 September – Sebanyak 101 badan pensijilan halal dari 51 negara menyertai Global Halal Summit (GHaS) 2026, sekali gus mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai antara peneraju ekosistem halal dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyertaan termasuk badan pensijilan dari negara baharu, termasuk negara Amerika Selatan yang mula meneroka pasaran halal Malaysia.
  • Penglibatan antarabangsa mencerminkan pengiktirafan Malaysia sebagai peneraju ekosistem halal dunia dalam pensijilan dan standard.
  • Pengiktirafan badan pensijilan luar negara mesti berasaskan kepercayaan dan integriti demi keyakinan pengguna terhadap produk halal.
  • Malaysia memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui SMIIC dan negara anggota OIC serta menganjur GHaS sepanjang Bulan Halal Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, penyertaan berkenaan turut membabitkan beberapa negara yang baharu pertama kali menyertai program berkenaan, selain negara yang mula meneroka pasaran halal Malaysia.

Katanya, perkembangan itu menunjukkan jaringan dan penerimaan terhadap ekosistem halal Malaysia semakin meluas, termasuk dalam kalangan negara dari Amerika Selatan seperti Colombia, Argentina dan Brazil.

“Yang menggembirakan kita, ada beberapa negara yang baru pertama kali dan juga negara-negara baru yang meneroka pasaran negara kita.

“Sekarang ini kita lihat sudah ramai negara-negara daripada Amerika Selatan, daripada Colombia, Argentina, Brazil dan daripada negara-negara yang lain,” katanya ketika ditemui pemberita pada GHaS Night: Celebrating Muslim-Friendly Malaysia 2026 di Putrajaya, malam ini.

Dr. Zulkifli berkata, penyertaan badan pensijilan halal antarabangsa itu turut mencerminkan pengiktirafan terhadap Malaysia sebagai negara peneraju dalam sektor halal dunia, khususnya dari aspek pensijilan dan standard.

“Ini menunjukkan pengiktirafan kepada Malaysia berkenaan dengan halal sebagai ‘leading nation’, sebagai peneraju dalam sektor halal di dunia, khususnya dalam konteks pensijilan dan juga dalam konteks standard,” katanya.

Dalam ucapan pada majlis sama, beliau berkata kehadiran 101 badan pensijilan halal dari 51 negara bukan sekadar angka pentadbiran, sebaliknya menunjukkan konsep halal semakin menjadi bahasa bersama dalam komuniti antarabangsa.

Katanya, pengiktirafan terhadap badan pensijilan halal luar negara perlu berasaskan kepercayaan dan integriti kerana sijil yang dikeluarkan menjadi asas keyakinan pengguna terhadap produk halal di pasaran Malaysia.

Pada masa sama, Malaysia terus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam penyelarasan standard halal, termasuk menerusi kerjasama dengan ‘Standards and Metrology Institute for Islamic Countries’ (SMIIC) dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

GHaS 2026 berlangsung sepanjang September bersempena Bulan Halal Negara, dengan menghimpunkan pelbagai inisiatif dan pemegang taruh bagi memperkukuh ekosistem halal di peringkat nasional serta antarabangsa.

Majlis perasmian GHaS 2026 dijadual berlangsung 25 September ini di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, dan dijangka disempurnakan Perdana Menteri.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.