Selangor lancar hab industri rel, meterai kerjasama strategik

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 September – Selangor melancarkan ‘Selangor Rail Industry Hub’ di InnoTrans 2026, Berlin, bagi memperkukuh ekosistem industri rel negara menerusi pemasangan dan pengujian tren tempatan, integrasi sistem serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hab beroperasi di Taman Perindustrian Zurah, Rasa; Fasa Satu 36,000 kaki persegi di premis SIRIM, Fasa Dua 19 ekar, Fasa Tiga 125 ekar.
  • SIRIM menerima LOI daripada MMC Engineering, Pecca Leather dan Xcel Itech untuk pemasangan tren, akademi upholsteri dan pembangunan simulator.
  • Tumpuan kepada pemasangan dan ujian tren, PoC dan integrasi sistem, simulator serta pematuhan MRIS; modal insan dikuatkan melalui Rail Teaching Factory dan STAPRI.

Inisiatif menerusi Invest Selangor Berhad itu dilancarkan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, yang mengetuai delegasi negeri ke Berlin.

Menurut Ng Sze Han dalam kenyataannya, Selangor mempunyai peluang besar untuk memperkukuh keupayaan pengurusan kitar hayat aset rel, baik pulih sistem secara tempatan serta integrasi digital pintar, susulan kematangan aset rel negara.

Katanya, penubuhan ‘Selangor Rail Industry Hub’ merupakan langkah strategik untuk memanfaatkan peluang berkenaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab kejuruteraan serantau.

Hub itu akan beroperasi di Taman Perindustrian Zurah, Rasa, Hulu Selangor, dengan Fasa Satu dimulakan serta-merta membabitkan ruang seluas 36,000 kaki persegi di premis SIRIM Berhad.

Kemudahan berkenaan akan menyediakan pengesahan teknikal dan pematuhan berasaskan ‘Malaysian Railway Industry Standards’ (MRIS).

Bagi menyokong pengembangan operasi, Fasa Dua akan menggunakan tanah seluas 19 ekar bersebelahan SIRIM untuk aktiviti pemasangan dan pengujian, manakala Fasa Tiga melibatkan pembangunan taman perindustrian rel seluas 125 ekar kira-kira dua kilometer dari lokasi Fasa Satu dan Dua.

Pada majlis pelancaran itu, SIRIM Berhad menerima Surat Hasrat (LOI) daripada tiga syarikat utama, iaitu MMC Engineering Berhad, Pecca Leather dan Xcel Itech Sdn Bhd.

MMC Engineering akan membangunkan operasi pemasangan dan pengujian tren tempatan, manakala Pecca Leather menerusi Pecca Aviation/Mobility akan menubuhkan akademi latihan khusus bagi memenuhi piawaian tempat duduk dan upholsteri industri rel.

Xcel Itech pula akan bekerjasama dengan SIRIM dalam penyetempatan, pengujian, pengesahan serta pengkomersialan platform dan rangka kerja simulator tren.

Hub itu memberi tumpuan kepada empat bidang utama, iaitu pemasangan dan pengujian tren tempatan, bukti konsep (PoC) serta integrasi sistem, pembangunan simulator tren dan penyetempatan rantaian bekalan.

Pembangunan modal insan turut diperkasa menerusi kerangka ‘Rail Teaching Factory’ dan ‘Selangor Talent Action Plan for Rail Industry’ (STAPRI) bagi membangunkan tenaga kejuruteraan bertauliah merentasi pelbagai sistem rel.

Invest Selangor Berhad turut mengalu-alukan penyertaan pengeluar peralatan asal (OEM) rel, integrator sistem, penyedia teknologi serta pemain rantaian bekalan global dalam ekosistem hab berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.