Hubungan parti Kerajaan Perpaduan kekal baik

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/ BERNAMA

JAKARTA, 19 September – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan hubungan antara parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan kekal baik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua keputusan Jemaah Menteri dibuat secara kolektif; pengurusan hal ehwal kerajaan dijalankan secara profesional.
  • Prinsip ketatasusilaan dijaga oleh anggota Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh mereka berkhidmat.
  • Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri Najib, tertakluk syarat dan pembayaran denda RM50 juta.
  • UMNO dan Barisan Nasional menegaskan undang-undang perlu dipatuhi; keputusan pengampunan terikat Perlembagaan Persekutuan.

Dalam menguruskan hal ehwal kerajaan, semua pihak terus bertindak secara profesional dengan keputusan Jemaah Menteri dibuat secara kolektif.

“Hubungan tetap baik. Biarpun kami merupakan ahli politik, dalam menguruskan hal ehwal kerajaan, kita bertindak secara profesional dan setakat ini tidak ada sebarang masalah.

“Semua keputusan yang dibuat jemaah menteri adalah keputusan secara kolektif, manakala hubungan peribadi setakat ini, alhamdulillah, cukup baik.

“Sebagai anggota Kerajaan Perpaduan, prinsip ketatasusilaan tetap kami jaga selagi kami berada dalam Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini ketika mengulas berkaitan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada Datuk Seri Najib, termasuk membenarkan baki hukuman dijalani di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Menurut Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, pengampunan bersyarat itu yang diputuskan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya di Istana Negara, tertakluk pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata keputusan Lembaga Pengampunan berhubung Najib yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong adalah terikat dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

UMNO dan BN kekal dengan pendirian bahawa undang-undang perlu dipatuhi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.