ATM sasar Angkatan Siber beroperasi sepenuhnya menjelang 2030

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan Majlis Peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber dan Jelajah Wira MADANI sempena Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-93 di Lumut / Foto BERNAMA

LUMUT, 19 September – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyasarkan Angkatan Siber, yang bakal menjadi cabang keempatnya, beroperasi sepenuhnya menjelang 2030 bagi menghadapi ancaman keselamatan dalam landskap peperangan moden.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penubuhan Tim Nukleus Angkatan Siber untuk merancang, menyelaras dan membangunkan keperluan penubuhan angkatan.
  • Menggabungkan keupayaan siber setiap cabang perkhidmatan di bawah satu angkatan khusus.
  • Ancaman siber mengancam sistem ketenteraan berhubung dan infrastruktur kritikal; kesiapsiagaan dan ketahanan masyarakat perlu diperkukuh.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai langkah awal, Tim Nukleus Angkatan Siber dibentuk bagi merancang, menyelaras serta membangunkan keperluan ke arah penubuhan angkatan berkenaan.

Beliau berkata usaha itu turut merangkumi penggabungan keupayaan siber yang kini terdapat di setiap cabang perkhidmatan ATM di bawah satu angkatan khusus.

“Sekarang memang ada (keupayaan siber), tetapi di setiap cabang. Kita mahu gabungkan setiap perkhidmatan di bawah satu cabang.

“Kita juga akan ambil anggota baharu dalam bidang seperti teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Tim Nukleus Angkatan Siber ATM dan Jelajah Wira MADANI di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, hari ini.

Penubuhan Angkatan Siber itu bakal melengkapkan tiga cabang perkhidmatan utama ATM sedia ada, iaitu Tentera Darat Malaysia, TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Datuk Seri Mohamed Khaled berkata, perubahan landskap keselamatan global menyebabkan ancaman terhadap negara tidak lagi terhad kepada serangan konvensional, sebaliknya turut melibatkan ruang siber, elektromagnetik, maklumat dan teknologi.

Menurut beliau, ancaman siber berpotensi mengganggu sistem ketenteraan yang saling berhubung serta infrastruktur kritikal negara.

Ia termasuk sistem bekalan elektrik, rangkaian komputer, kawalan trafik, lapangan terbang serta kemudahan minyak dan tenaga.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesiapsiagaan pertahanan perlu diperkukuh bukan sahaja dari segi aset dan anggota ATM, malah melalui peningkatan ketahanan masyarakat dalam menghadapi ancaman siber.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.