
KUALA LUMPUR, 19 September – Usaha menggalakkan golongan wanita melakukan saringan kesihatan perlu dipergiatkan bagi membantu mengesan kanser payudara pada peringkat awal.
- Ramai wanita masih malu jalani saringan payudara; perlu usaha untuk galak mereka hadir awal sebelum penyakit mencapai tahap teruk.
- Melalui skim PeKa B40 penerima dan pasangan 40 tahun ke atas layak saringan percuma termasuk pemeriksaan klinikal payudara.
- Wanita layak juga boleh mendapatkan saringan mamogram bersubsidi melalui LPPKN.
- Penambahbaikan rawatan memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan pembangunan tenaga kerja muda dengan bimbingan berstruktur serta pendedahan multidisiplin.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pengesanan dan kesedaran awal amat penting bagi mengelakkan pesakit tampil mendapatkan rawatan apabila penyakit merebak ke tahap yang lebih serius.
“Kadarnya masih sama hingga kini. Ramai wanita kita masih enggan tampil untuk membuat pemeriksaan saringan kerana rasa segan.
“Jadi, kita mesti lakukan sesuatu untuk menggalakkan mereka datang awal. Kita tidak mahu mereka hanya tampil apabila dah sampai ke tahap 3 atau 4, kerana pada waktu itu, ia sudah agak terlambat.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Saintifik Tahunan Persatuan Penyakit Payudara Asia (ABDA) ke-22 2026 di sini, hari ini.
Menerusi skim PeKa B40, penerima yang layak dan pasangan mereka berumur 40 tahun ke atas boleh menjalani saringan kesihatan percuma, termasuk pemeriksaan klinikal payudara.
Menurut Datuk Seri Dr. Wan Azizah, wanita yang layak juga boleh mendapatkan saringan mamogram bersubsidi melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Penambahbaikan hasil rawatan bukan sekadar tanggungjawab profesional kesihatan semata-mata, sebaliknya memerlukan usaha bersama daripada institusi kesihatan, organisasi profesional, pembuat dasar, penggiat industri, kumpulan pesakit dan komuniti yang lebih luas.
Pada masa sama, kepentingan generasi profesional kesihatan seterusnya bersedia untuk meneroka bidang penjagaan payudara yang berkembang pesat.
Doktor muda, penyelidik, jururawat dan pegawai sains kesihatan perlu menerima bimbingan berstruktur dan pendedahan awal kepada amalan pelbagai disiplin, selain digalakkan untuk bertanya soalan, mengambil bahagian dalam audit klinikal dan memimpin inisiatif kesedaran komuniti.
“Membangunkan tenaga kerja muda kita memerlukan lebih daripada sekadar mengajar ketepatan teknikal. Ia memerlukan bimbingan berstruktur dan pendedahan kepada amalan terbaik secara kolaboratif,” katanya lagi.
Kecerdasan buatan (AI) dan terapi sasaran lanjutan sedang mengubah cara penjagaan payudara pada kadar yang belum pernah terjadi sebelum ini, namun inovasi teknologi mesti kekal berasaskan pertimbangan manusia dan rasa empati.
“Inovasi sahaja tidak menyembuhkan. Tangan dan hati yang mengendalikan alatan ini yang memberi perbezaan. Teknologi tidak boleh sekali-kali menggantikan sentuhan kemanusiaan,” katanya.
Mesyuarat dua hari bertemakan ‘Strategising Multidisciplinary Management of Breast Diseases’ itu menghimpunkan pakar penjagaan kesihatan dan penyelidik dari Malaysia serta seluruh Asia untuk bertukar pengetahuan dan mengukuhkan kerjasama dalam pengesanan, diagnosis dan rawatan penyakit payudara.
Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat itu buat kali keempat, yang dianjurkan bersama Persatuan Radiologi Malaysia serta disokong Kolej Radiologi, Akademi Perubatan Malaysia.