
TEHRAN, 16 Oktober – Tentera Laut Iran pada Jumaat mengumumkan bahawa pasukannya mengesan sebuah lagi kapal tangki minyak yang “melanggar peraturan” dan terbakar di timur Selat Hormuz, lapor Xinhua.
- Kapal mematikan sistem pengesanan dan cuba memasuki zon larangan Selat Hormuz.
- Tentera laut ingatkan pergerakan tanpa penyelarasan boleh menimbulkan ketidakstabilan dan bahaya kepada kapal lain.
- Pada Selasa dan Khamis dua lagi kapal tangki dikesan terbakar ketika cuba melintasi zon larangan.
- Tentera Laut Iran menegaskan kawalan penuh, menasihatkan kapal hidupkan peralatan elektronik dan jalankan penyelarasan.
Dalam satu kenyataan di laman sesawangnya, tentera laut itu mengesahkan yang kapal tangki berkenaan dikesan oleh pasukan pemantaunya, “yang bertanggungjawab memantau secara berterusan perairan timur selat itu”, ketika berada di “zon larangan” laluan air berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kapal berkenaan mematikan sistem pengesanannya dan cuba memasuki “zon larangan” itu. Tentera laut Iran menegaskan bahawa “pergerakan tanpa penyelarasan” sedemikian boleh menimbulkan ketidakstabilan dan bahaya kepada kapal lain.
Pada Selasa dan Khamis, tentera laut itu mengumumkan bahawa pihaknya mengesan dua lagi kapal tangki minyak yang “melanggar peraturan” dan terbakar ketika cuba melintasi “zon larangan” di timur selat berkenaan.
Tentera Laut Iran menegaskan bahawa pasukannya mempunyai kawalan penuh terhadap perairan timur selat berkenaan dan terus memantau semua aktiviti “musuh” serta pergerakan kapal secara masa nyata.
Tentera Laut Iran turut menasihatkan semua kapal supaya tidak mematikan peralatan elektronik mereka dan mematuhi peraturan antarabangsa, selain memastikan penyelarasan yang sewajarnya dengan Angkatan Tentera Iran bagi menjamin laluan selamat melalui Selat Hormuz.
Iran memperketat kawalannya terhadap selat itu pada 28 Feb, dengan menghalang laluan selamat kapal yang dimiliki oleh atau mempunyai hubungan dengan Israel dan Amerika Syarikat susulan serangan bersama kedua-dua negara itu ke atas wilayah Iran.- BERNAMA-XINHUA