
BELANDA, 17 Oktober – Komuniti Islam di Maarssen terpaksa menunaikan solat Jumaat di luar sebuah bangunan selepas pihak berkuasa tempatan menolak permohonan mereka untuk menjadikan bangunan itu sebagai sebuah pusat Islam.
- Perbandaran menolak permohonan Julai lalu, memetik peraturan pengezonan dan kebimbangan keselamatan lalu lintas.
- Komuniti menunggu 14 tahun mencari premis, membeli bangunan pada 2024 untuk ibadah dan aktiviti kemasyarakatan.
- Pengurusan dan aktivis berhasrat mencabar keputusan; pusat dicadang mewakili lebih 600 keluarga Islam di Stichtse Vecht.
Rakaman video menunjukkan komuniti Islam menunaikan solat Jumaat di ruang luar bangunan dekat wilayah Stichtse Vecht.
Pada masa sama, sekumpulan individu yang menentang permohonan tersebut turut berkumpul berhampiran lokasi berkenaan.
Komuniti Islam mendakwa, mereka menunggu selama 14 tahun untuk mencari premis tetap sebelum membeli bangunan itu pada 2024.
Bagaimanapun, permohonan untuk menukar bekas pejabat kepada pusat Islam ditolak oleh pihak perbandaran pada Julai lalu.
Anggota Muslim Rights Watch Belanda, Florian Drenth berkata keputusan itu menimbulkan kekecewaan dalam kalangan umat Islam di kawasan berkenaan.
“Pihak perbandaran enggan memberikan permit untuk penubuhan pusat Islam itu dan perkara ini menimbulkan kekecewaan dalam kalangan umat Islam di kawasan ini,” katanya.
Beliau menegaskan, komuniti Islam memerlukan tempat untuk mengamalkan agama mereka dan berhasrat untuk terus menetap di kawasan tersebut.
Sementara itu, pihak perbandaran mempertahankan keputusan tersebut dengan alasan pusat keagamaan dan komuniti tidak selaras dengan peraturan pengezonan kawasan taman perniagaan.
Pihak perbandaran turut membangkitkan kebimbangan mengenai keselamatan lalu lintas serta kemungkinan aktiviti pusat itu menjejaskan operasi syarikat berhampiran.
Bagaimanapun, pihak pengurusan pusat Islam itu mempertikaikan alasan berkenaan dan berhasrat mencabar keputusan tersebut.
Aktivis Ayub Hotela berkata komuniti berkenaan hanya mahu menggunakan bangunan yang telah mereka miliki untuk menjalankan aktiviti keagamaan.
“Kami mahukan masjid sendiri atau bangunan sendiri. Kami sudah mempunyai bangunan, tetapi mereka tidak memberikan kebenaran untuk kami menjalankan aktiviti Islam,” katanya.
Ayub turut menyifatkan bangunan itu sebagai ruang penting untuk komuniti Islam berkumpul.
Pusat yang dicadangkan itu dirancang menyediakan ruang solat, pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan, dengan pihak penganjur mendakwa ia mewakili lebih daripada 600 keluarga Islam di seluruh Stichtse Vecht.-VIORY