
WASHINGTON, 17 Oktober- Setiausaha Akhbar White House, Katie Zacharia, digugurkan daripada jawatannya pada Jumaat selepas kurang seminggu bertugas susulan kontroversi berkaitan kelayakan profesionalnya, kenyataan mengenai China dan kritikan terhadap taklimat media pertamanya.
- Taklimat media pertamanya kurang 15 minit; beliau hanya membaca pencapaian dan menjawab tiga soalan wartawan.
- Dakwaan terdahulu bahawa beliau seorang peguam didapati tidak benar, menimbulkan kontroversi dan kritikan.
- Trump memberi bayangan beliau harus mempertimbangkan meninggalkan jawatan, menambah gangguan politik ketika kempen pilihan raya pertengahan.
“Boleh disahkan,” kata seorang pegawai Rumah Putih kepada AFP selepas Fox News melaporkan bahawa Zacharia, 41, sedang ‘beralih keluar’ daripada jawatan berkenaan.
Kedudukan Zacharia mula dipersoalkan apabila Trump memberi bayangan bahawa beliau bersedia melihat jurucakap baharunya itu meninggalkan jawatan berkenaan, susulan kritikan terhadap dakwaannya sebagai seorang peguam serta taklimat media pertamanya yang menjadi bahan ejekan.
“Saya berkata, ‘Katie, adakah ini sesuai untuk kamu?’ Saya berkata, ‘Katie, kamu tidak perlu melakukan perkara ini’… Sejujurnya, jika saya berada di tempat kamu, saya akan mempertimbangkannya semula,” kata Trump kepada pemberita.
Zacharia mencetuskan kontroversi apabila mengakui pada Khamis bahawa beliau gagal dalam peperiksaan kelayakan peguam di Amerika Syarikat, meskipun sebelum ini memperkenalkan dirinya sebagai peguam dalam penampilan televisyen dan media sosial.
Dalam satu temu bual, Zacharia berkata beliau pernah mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu tetapi terganggu dan berasa terbeban dengan persiapan untuk berpindah ke China bersama suaminya.
Beliau memiliki ijazah undang-undang daripada sebuah universiti di California, namun peperiksaan berkenaan merupakan syarat untuk menjalankan amalan guaman di negara itu.
Dalam perkembangan berasingan, Zacharia turut dikritik selepas mempersoalkan kemampuan China mengatasi Amerika Syarikat dengan menyatakan negara itu tidak mempunyai tandas yang sempurna.
“Saya masih ingat dengan jelas, ketika baru pulang dari China, saya berfikir, ‘Bagaimana China boleh menjadi negara seterusnya yang bakal mengatasi kita? Mereka pun tidak mempunyai tandas yang sempurna,’” katanya.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning kemudian membidas kenyataan itu pada Jumaat dengan menyarankan Zacharia melawat China dengan lebih kerap.
Sementara itu, taklimat media pertama Zacharia pada Selasa berlangsung kurang daripada 15 minit dengan sesi dimulakan dengan membaca senarai pencapaian Trump secara perlahan sebelum menjawab hanya tiga soalan daripada wartawan.
Zacharia menggantikan Karoline Leavitt, yang dikenali dengan pendekatan berkonfrontasi terhadap media.
Ketika penggal pertama Trump sebagai presiden, tempoh 11 hari Anthony Scaramucci sebagai pengarah komunikasi White House menjadi bahan ejekan kerana terlalu singkat, malah mencetuskan ‘meme’ internet.
Tempoh perkhidmatan Zacharia pula kurang daripada separuh tempoh itu.
“Rekod dicipta untuk dipecahkan,” tulis Scaramucci di platform X, sambil menambah bahawa beliau tidak bergembira dengan kesusahan orang lain.
Kontroversi itu menambah gangguan kepada Trump, 80, ketika beliau menjelajah negara bagi meningkatkan sokongan terhadap calon Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal Kongres pada 3 November, ketika tinjauan pendapat meramalkan parti itu bakal mengalami kekalahan besar.
Trump turut berdepan kemerosotan sokongan apabila rakyat Amerika semakin tidak berpuas hati terhadap perang dengan Iran, inflasi dan persepsi mengenai amalan rasuah. -AFP