Kementerian Digital sasar RM9 bilion hasil industri kreatif

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Kementerian Digital menyasarkan hasil sebanyak RM9 bilion bagi industri kreatif digital negara dalam tempoh lima tahun menerusi Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan Hala Tuju menyokong agenda Malaysia Digital 2030 untuk menukar negara menjadi pencipta inovasi dan penyelesaian teknologi.
  • Empat keutamaan: perkasakan modal insan, kukuhkan pengkomersialan dan pembiayaan IP, tarik pelaburan bernilai tinggi, bina jenama nasional melalui eksport.
  • Ekonomi kreatif menyumbang RM130.7 bilion KDNK 2024, menyokong 760,000 pekerjaan dan eksport bernilai RM62 bilion.

Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pelan hala tuju berkenaan turut menyasarkan RM6 bilion dalam bentuk eksport, RM6 bilion pelaburan strategik serta 10,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Menurut beliau, pelan hala tuju itu menyokong agenda nasional di bawah Malaysia Digital 2030 (MD2030) untuk mentransformasikan negara daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta inovasi dan penyelesaian.

“Pelan hala tuju ini memberi fokus kepada empat keutamaan utama, iaitu memperkasakan modal insan, memperkukuh pengkomersialan dan pembiayaan Harta Intelek (IP), menarik pelaburan bernilai tinggi, serta membina jenama nasional Malaysia menerusi eksport,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Level Up KL 2026 di Connexion Conference & Event Centre, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa ekonomi kreatif menyumbang RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2024.

Selain itu, sektor berkenaan turut menyokong lebih 760,000 peluang pekerjaan dan menjana nilai eksport sebanyak RM62 bilion.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan pereka dan pembangun kandungan tempatan untuk lebih yakin dengan apa yang Malaysia mampu tawarkan.

“Kejayaan kita tidak seharusnya diukur berdasarkan apa yang kita hasilkan untuk pihak luar sahaja, tetapi juga apa yang kita cipta dan miliki sendiri. Harapan kita adalah untuk melihat lebih banyak idea dan studio tempatan berkembang menjadi produk global,” ujarnya.

Tambahan beliau, Malaysia memiliki asas kukuh untuk melahirkan bakat baharu dengan kehadiran lebih 45 institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang menawarkan kursus berasaskan industri kreatif di seluruh negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.