RCI perkukuh tadbir urus Tabung Haji

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Ogos Pendedahan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berkaitan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) diharap menjadi titik perubahan bagi memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan pendeposit terhadap institusi itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tadbir urus perlu diberi perhatian memastikan pengurusan dana dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.
  • Pemantauan dan kawalan dalaman mesti diperketat untuk mengelak salah guna kuasa atau kecuaian pengurusan.
  • Keputusan berkaitan dana harus melalui proses jelas serta mudah diawasi oleh pihak berkepentingan.
  • Harapan agar langkah penambahbaikan menyeluruh dilaksanakan supaya TH kembali menjadi institusi dipercayai.

Bagi pendeposit yang ditemui RTM, dapatan RCI tidak seharusnya terhenti pada pendedahan mengenai kelemahan yang berlaku sebelum ini, sebaliknya perlu disusuli langkah penambahbaikan lebih menyeluruh.

Menurut Mohd Fareez Mohamad Zaini, 39 tahun, aspek tadbir urus perlu diberi perhatian bagi memastikan pengurusan dana TH dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.

“Saya rasa kena ada pemantauan dengan kawalan dalaman yang lebih ketat. Lepas itu, keputusan berkaitan dana melalui proses yang jelas juga. Kena pantau supaya tak berlaku salah guna kuasa ataupun kecuaian dalam pengurusan,” katanya.

Sementara itu, Noor Shahdiella Abd Manan, 29 pula berkata, pihak yang dipertanggungjawabkan perlu menitikberatkan aspek tadbir urus yang baik dalam memastikan kepentingan pendeposit sentiasa terpelihara.

“Mereka yang dipertanggungjawabkan harus menitikberatkan tadbir urus yang baik. Kami sebagai rakyat dan pendeposit memang perlukan mereka yang berintegriti. Harapan saya, tadbir urus lebih telus, lebih ketat dan juga berintegriti,” katanya.

Bagi Nik Nur Iman Wahyu Nik Azwadi, 24, penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan TH kembali menjadi institusi yang diyakini dan terus mendapat kepercayaan rakyat.

“Saya harap RCI ini bukan hanya dedahkan apa yang berlaku sebelum ini, tapi jadi titik perubahan juga kepada Tabung Haji untuk membaiki kelemahan yang sedia ada. Saya nak tengok Tabung Haji terus kembali menjadi institusi yang boleh dipercayai dan masih dipercayai,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.