Perkhidmatan Tabung Haji terus diyakini pendeposit

Foto BERNAMA

KUANTAN, 15 Ogos — Pengalaman positif sepanjang menunaikan ibadah haji terus menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan Lembaga Tabung Haji (TH).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendeposit berharap TH terus memperkasa perkhidmatan dan pengurusan bagi memastikan urusan haji lancar, teratur dan memberi manfaat generasi akan datang.
  • Testimoni pendeposit memuji bimbingan, pengurusan dan bantuan persediaan haji menjadikan keyakinan terhadap TH semakin kukuh.
  • Harapan agar TH terus menambah baik perkhidmatan supaya anak muda juga dapat menikmati perkhidmatan dan pengalaman haji selesa.

Di Kuantan, beberapa pendeposit turut berharap perkhidmatan dan pengurusan TH terus diperkasa bagi memastikan urusan menunaikan ibadah haji kekal lancar, teratur dan memberi manfaat kepada umat Islam, termasuk generasi akan datang.

Bagi pesara guru, Nor Rehan Ali, pengalaman menunaikan ibadah haji pada 2006 dan 2007 memberi kesan positif dan keyakinannya terhadap pengurusan TH, khususnya dari aspek bimbingan dan khidmat pengurusan jemaah.

“Pengalaman saya pada 2006-2007, Tabung Haji membawa kami ke sana. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan tiada apa yang hendak diadukan. Saya rasa perkhidmatannya sangat baik, termasuk bimbingan awal oleh mutawif.

“Insya-Allah, doakan saya untuk pergi lagi pada tahun depan kerana saya sudah mendapat panggilan. Alhamdulillah,” katanya.

Sementara itu, Juhari Harun, seorang pesara, berharap TH terus memainkan peranan penting dalam membantu umat Islam di negara ini menunaikan ibadah haji dengan sebaik-baiknya.

“Saya berharap Tabung Haji terus memberikan peranan yang penting, terutama kepada orang Islam. Inilah tempat untuk orang Islam di negara ini menunaikan haji dengan cara yang terbaik.

“Tahniah saya ucapkan kepada Tabung Haji. Terus maju pada masa-masa akan datang supaya anak-anak muda juga dapat terus menikmati perkhidmatan Tabung Haji,” katanya.

Bagi Norazmawati Zahari, seorang suri rumah dan pendeposit TH, keyakinannya terhadap institusi itu semakin kukuh susulan bantuan yang diterima dalam membuat persiapan untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

“Saya sebagai pendeposit Tabung Haji benar-benar yakin dengan Tabung Haji kerana ia banyak membantu membuat persediaan untuk saya menunaikan haji pada tahun ini.

“Saya bersyukur atas segala jasa baik yang diberikan oleh Tabung Haji,” katanya.

Turut berkongsi pandangan ialah Shamsiah Othman, seorang pesara yang menyifatkan pengurusan TH sebagai sangat baik dan teratur.

“Alhamdulillah, tahun ini saya dipanggil untuk melaksanakan ibadah haji. Saya bersyukur kerana pengurusan Tabung Haji memang amat baik.

“Pada saya, pengurusannya memang sangat baik dan saya yakin Tabung Haji boleh terus menambah baik perkhidmatannya untuk membantu umat Islam melaksanakan ibadah haji,” katanya.

Keyakinan dan sokongan berterusan daripada pendeposit itu mencerminkan harapan agar TH terus memperkukuh perkhidmatan, bimbingan serta pengurusan jemaah haji demi memastikan pengalaman menunaikan ibadah haji kekal lancar dan selesa.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.