
KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Cadangan mewujudkan pengawal selia tunggal bagi institusi kewangan bukan bank (NBFI) perlu disusuli pembahagian bidang kuasa yang jelas.
- Pembahagian bidang kuasa jelas diperlukan untuk elak pertindihan dengan BNM, SC dan Jabatan Audit Negara.
- Pengawal selia tunggal mesti mempunyai gambaran menyeluruh risiko dan kuasa jelas untuk tindakan pantas.
- Pengawasan berpusat dapat mengesan risiko lebih awal tetapi bukan jaminan krisis tidak berlaku.
- Pengawal selia perlu bebas daripada campur tangan politik dan industri serta lapor secara berkala kepada Parlimen.
Langkah itu penting bagi mengelakkan pertindihan fungsi dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Jabatan Audit Negara.
Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata, perkara utama bukan sekadar mewujudkan agensi baharu, sebaliknya memastikan terdapat satu pihak yang mempunyai gambaran menyeluruh mengenai risiko serta kuasa jelas untuk mengambil tindakan.
Katanya, tanpa garis kuasa yang tegas, pengawal selia tunggal berisiko menjadi satu lagi lapisan birokrasi yang boleh melambatkan tindakan apabila risiko dikenal pasti.
“Bidang kuasa agensi pengawal selia tunggal ini juga mestilah dibezakan dengan jelas daripada Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Jabatan Audit Negara bagi mengelakkan pertindihan atau kelewatan dalam mengambil tindakan.
“Mereka juga perlu bebas daripada sebarang campur tangan politik dan tekanan daripada industri serta tertakluk kepada pelaporan dari semasa ke semasa kepada Parlimen,” katanya ketika dihubungi RTM.
Menurutnya, pengawasan berpusat berpotensi membantu mengesan risiko lebih awal, namun ia bukan jaminan bahawa krisis tidak akan berlaku.
“Pengawal seliaan berpusat ini berpotensi membantu mengesan risiko dengan lebih awal, cuma ia bukan jaminan krisis ini langsung tidak akan berlaku,” katanya.
Mengulas pengajaran daripada isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), beliau berkata, masalah pengawasan bukan semata-mata berpunca daripada ketiadaan maklumat, sebaliknya maklumat yang ada tersebar di beberapa institusi.
Katanya, keadaan itu menyebabkan tiada satu pihak mempunyai gambaran menyeluruh mengenai risiko serta kuasa yang mencukupi untuk memastikan tindakan pantas dapat diambil.
“Cuma maklumat ini adalah dalam bentuk fragmented, ataupun terpisah-pisah dan terpecah-pecah sehingga tiada satu pun pihak yang dapat melihat gambaran risiko secara menyeluruh dan seterusnya mempunyai kuasa yang jelas untuk mengambil tindakan,” katanya.
Muhammad Irwan berkata, jika pengawal selia tunggal diwujudkan, ia berupaya memainkan peranan sebagai pusat pengawasan risiko dan penyelarasan maklumat, bukannya mengambil alih pengurusan harian institusi kewangan.
Katanya, BNM dan SC perlu kekal menjalankan fungsi masing-masing, manakala Jabatan Audit Negara terus memainkan peranan dalam aspek audit dan akauntabiliti awam.
Pada masa sama, pengawal selia NBFI perlu diberikan kuasa khusus untuk memantau risiko merentas institusi, menetapkan piawaian asas serta mengambil tindakan segera apabila ambang risiko tertentu dicapai.