
PETALING JAYA, 8 Ogos – Hampir 700 rakyat Malaysia menyertai edisi ke-16 Jelajah AI MyMahir (JAM) TalentCorp di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Puay Chai 2, di sini, menjadikannya penyertaan terbesar setakat ini.
- Jelajah AI MyMahir bertujuan memberi kesedaran masyarakat tentang teknologi baharu dan kesannya terhadap aspek bakat dan pekerjaan.
- Program disertai masyarakat pelbagai latar belakang termasuk pelajar, pendidik, pencari kerja, usahawan dan pesara.
- Menteri Gobind tekankan keperluan tenaga kerja bertenaga AI dengan pengetahuan, keyakinan dan keupayaan menggunakan AI secara produktif dan bertanggungjawab.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu cerminan peningkatan minat masyarakat terhadap kemahiran digital yang semakin pesat berkembang terutama
kecerdasan buatan (AI).
“Tujuannya adalah untuk kita memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang teknologi baharu dan bagaimana ia memberi kesan, khususnya berkaitan aspek bakat.
“Apabila teknologi itu sampai ke negara kita atau dapat kita gunakan, kita perlu memastikan rakyat tahu bagaimana menggunakannya. Dalam masa sama, teknologi baharu ini juga akan mempunyai kesan terhadap pekerjaan sedia ada,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program berkenaan, yang disertai masyarakat pelbagai latar belakang antaranya pelajar, pendidik, pencari kerja, usahawan dan pesara.
Jelajah AI MyMahir (JAM) dianjurkan TalentCorp, sebuah agensi dibawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan kerjasama Kementerian Digital.
Gobind turut memaklumkan, transformasi digital negara perlu disokong tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan, keyakinan dan keupayaan menggunakan AI secara produktif serta bertanggungjawab.
Ini kerana, AI bukan lagi teknologi masa hadapan, sebaliknya sudah memberi kesan kepada cara rakyat belajar, bekerja, menjalankan perniagaan dan berinteraksi dengan kerajaan.