Kandungan sensitif: TikTok diberi tempoh perkukuh sistem moderasi

Datuk Seri Fahmi Fadzil/ RTM

KUALA LUMPUR, 8 Ogos- Semua pengendali platform media sosial termasuk TikTok diberi tempoh memperkemas sistem moderasi kandungan susulan kebimbangan terhadap kebergantungan kepada kecerdasan buatan (AI) dalam mengesan dan menangani kandungan sensitif seperti buli siber.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keupayaan AI menghadapi kekurangan memahami konteks dan nuansa bahasa, menyebabkan kandungan jenayah dan buli siber terlepas pengesanan.
  • Penggunaan AI tanpa pemahaman bahasa tertentu meningkatkan risiko buli siber lepas pantau, termasuk dalam komuniti berbahasa Tamil.
  • TikTok mengurangkan moderator manusia dan kini lebih memberi tumpuan kepada penggunaan AI, menurut kementerian.
  • PIBG dan ibu bapa diseru terlibat, memahami ancaman dalam talian serta mengaktifkan kawalan ibu bapa pada peranti anak.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata keupayaan memahami konteks dan nuansa sesuatu bahasa merupakan antara perkara yang tidak boleh dipandang ringan dalam proses moderasi kandungan.

Beliau berkata penggunaan AI tanpa keupayaan memahami konteks bahasa tertentu boleh menyebabkan kandungan berunsur jenayah dan buli siber terlepas daripada pengesanan.

“Kalau mereka (pengendali platform) menggunakan AI untuk melakukan moderasi atau kawal selia kandungan tetapi tidak mempunyai keupayaan untuk memahami apa yang sedang berlaku dalam sesuatu bahasa… ini boleh membolehkan jenayah ataupun kejadian seperti buli siber berleluasa.

“Itu yang sedang berlaku termasuk dalam komuniti India yang berbahasa Tamil,” katanya.

Datuk Seri Fahmi berkata beliau sebelum ini telah menyampaikan pandangan berhubung perkara itu kepada pihak TikTok, terutama mengenai kepentingan mengekalkan moderator manusia dalam proses moderasi kandungan.

“Isu bahasa tak boleh diserahkan bulat-bulat kepada AI. AI tidak mampu memahami sepenuhnya nuansa penggunaan ayat-ayat tertentu, terutama kandungan yang memangsakan atau membuli orang lain.

“Malangnya, pihak TikTok telah mengurangkan jumlah moderator manusia dan kini lebih memberi fokus kepada penggunaan AI,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Internet Selamat 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Datuk Seri Fahmi berkata platform media sosial perlu mengambil kira keperluan yang digariskan menerusi Kod Amalan Keselamatan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Mitigasi Risiko (RMC) dalam memperkukuh sistem moderasi masing-masing.

Beliau berkata usaha memastikan internet lebih selamat khususnya untuk kanak-kanak tidak boleh hanya bergantung kepada kerajaan, sekolah dan pengendali platform.

Sehubungan itu, Kempen Internet Selamat (KIS) turut memberi tumpuan kepada PIBG bagi memastikan mesej keselamatan digital dapat disampaikan secara langsung kepada ibu bapa.

Beliau berkata ibu bapa perlu memahami ancaman semasa termasuk penipuan dalam talian, perjudian dalam talian dan buli siber, selain mengetahui modus operandi pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kanak-kanak.

Ibu bapa turut disaran mengaktifkan fungsi kawalan ibu bapa (parental control) pada peranti dan aplikasi yang digunakan anak masing-masing.

Datuk Seri Fahmi berkata pihak TikTok akan diberikan sedikit masa untuk mengambil langkah penambahbaikan berhubung perkara itu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.