Kelab Perempuan Membaca diisytihar kelab membaca terbesar di Malaysia

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kelab Perempuan Membaca di bawah naungan Perbadanan Kota Buku secara rasmi diisytiharkan sebagai kelab membaca terbesar di Malaysia, dengan kira-kira 5,000 ahli berdaftar setakat ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Fadhlina menegaskan membaca wanita adalah sebahagian daripada agenda membina negara; budaya membaca perlu dipupuk sejak awal dan kekal merentas generasi.
  • Tema "Perempuan dan Negara" mengetengahkan peranan wanita dalam membentuk peradaban; galakkan lebih banyak karya mendokumentasi pengalaman tokoh wanita Malaysia.
  • Kelab dilancarkan pada Jun lalu; pertemuan bulanan akan diteruskan dan penganjuran diperluaskan ke seluruh negara sebagai sebahagian Gerakan Membaca Negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pengiktirafan itu mencerminkan kesungguhan wanita dalam memartabat budaya ilmu.

“Apabila kita membicarakan tentang perempuan membaca, ia bukan sekadar konteks pembacaan itu sahaja tetapi bagaimana membaca ini adalah sebahagian daripada agenda membina negara.

“Budaya membaca dalam kalangan wanita perlu dipupuk sejak awal usia dan dikekalkan merentas generasi bagi mewujudkan ekosistem pembacaan serta keilmuan yang tinggi,” katanya ketika berucap pada program Kelab Perempuan Membaca di sini, hari ini.

Tema “Perempuan dan Negara” dipilih bagi sesi kali ini bagi memberi ruang untuk mengetengahkan karya yang mengangkat peranan wanita dalam membentuk peradaban masyarakat.

Beliau menyarankan lebih banyak karya yang mendokumentasikan pengalaman dan sumbangan tokoh wanita Malaysia dihasilkan sebagai rujukan serta inspirasi kepada generasi akan datang.

Kelab Perempuan Membaca yang dilancar pada Jun lalu bukan sahaja akan meneruskan pertemuan secara bulanan, malah penganjurannya bakal diperluaskan ke seluruh negara.

Ia sebahagian daripada inisiatif Gerakan Membaca Negara, selain menggalakkan ahli berkongsi bahan bacaan mengikut tema ditetapkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.