
GEORGE TOWN, 8 Ogos – Golongan ibu bapa mengambil langkah lebih berwaspada dalam melindungi kesihatan anak-anak susulan bacaan indeks sinaran ultraungu (UV) yang mencecah tahap sangat tinggi di Bayan Lepas.
- Ibu bapa meningkatkan kewaspadaan dan mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas.
- Galakkan anak bawa botol air, minum cukup, ambil buah dan kurangkan makanan ringan.
- Gunakan krim pelindung matahari dan pastikan anak tidak terlalu lama berada di luar.
Muhammad Nor Kamal Mohamad Khalid berkata, beliau menggalakkan anak-anaknya membawa botol air ke sekolah dan mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca terlalu panas.
“Kita sarankan pada cikgu-cikgu supaya budak-budak bawa botol air dan minum banyak.
“Kalau waktu dah panas, kita kurangkan aktiviti luar. Kalau boleh, duduk di bawah bumbung ataupun dalam kelas,” katanya.
Nurul Fazira pula berkata, beliau memastikan anak-anak mengambil air mencukupi, selain menggalakkan pengambilan buah-buahan dan mengurangkan makanan ringan.
“Kurangkan aktiviti luar. Selalu dalam rumah saja,” katanya.
Nur Aini Ismail turut mengehadkan aktiviti anaknya yang kurang tahan dengan cuaca panas dan sentiasa mengingatkan supaya tidak terlalu lama berada di luar.
Sementara itu, Nurul Hidayah Mohd Zul berkata, beliau tidak menggalakkan anaknya bermain di luar selepas pulang dari sekolah terutama ketika cuaca panas melampau.
“Saya ada juga pakaikan krim pelindung cahaya matarahari untuk dia. Memang saya sediakan satu khas untuk dia,” katanya.
Berdasarkan data Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Bayan Lepas merekodkan indeks sinaran ultraungu (UV) sekitar 10.2, iaitu pada tahap sangat tinggi, semalam.
Senai, Kota Kinabalu dan Sibu turut berada pada tahap sangat tinggi, dengan masing-masing merekodkan 10.5, 10.0 dan 8.6.
Petaling Jaya dan Kota Bharu pula mencatat bacaan pada tahap ekstrem, masing-masing sekitar 11.8 dan 11.1.
Bacaan tertinggi lazimnya direkodkan sekitar tengah hari hingga awal petang.