
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Industri perbankan Malaysia mengiktiraf usaha 68 pekerja dari 14 institusi perbankan seluruh negara atas kejayaan mereka membantu mencegah transaksi penipuan bernilai lebih RM139.57 juta sepanjang tahun 2025.
- Pengiktirafan mencerminkan peranan penting kakitangan barisan hadapan dalam melindungi pelanggan daripada sindiket penipuan yang semakin canggih.
- Kes penipuan yang berjaya dicegah meningkat 46 peratus sepanjang 2025 berbanding tahun sebelumnya.
- Nilai transaksi penipuan yang disekat meningkat tiga kali ganda kepada RM1.19 bilion, menunjukkan keberkesanan langkah perlindungan.
- Empat fokus utama termasuk Money Lock dan Money Vault, Malware Shielding, Kill Switch serta kemudahan semakan layan diri.
Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan untuk Membanteras Penipuan, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, pengiktirafan itu mencerminkan peranan penting kakitangan barisan hadapan bank dalam melindungi pelanggan daripada menjadi mangsa sindiket penipuan yang semakin kompleks dan canggih.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank menjelaskan, industri perbankan kekal komited memperkukuh langkah perlindungan pelanggan serta usaha pencegahan penipuan, walaupun landskap penipuan terus berkembang.
“Melalui tindakan proaktif anda semua dalam mengenal pasti aktiviti mencurigakan dan bertindak pada saat kritikal, anda telah berjaya melindungi ramai pelanggan daripada menjadi mangsa kerugian kewangan.
“Anda semua melambangkan dedikasi berterusan industri perbankan dalam melindungi pelanggan dan sekali gus juga memperkukuhkan ekosistem kewangan agar lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya semasa acara Penghargaan Wira Bank #JanganKenaScam 2026 di sini, hari ini.
Penerima pengiktirafan tahun ini terdiri daripada kakitangan 14 institusi perbankan, iaitu Agrobank, Alliance Bank, AmBank, Bank of China, Bank Islam, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional, CIMB, HSBC, Maybank, OCBC, Public Bank, RHB dan UOB.
Tambah beliau lagi, industri perbankan turut mencatat peningkatan 46 peratus dalam kes penipuan yang berjaya dicegah sepanjang 2025 berbanding tahun sebelumnya.
Jumlah nilai transaksi penipuan yang berjaya disekat turut meningkat tiga kali ganda kepada RM1.19 bilion, mencerminkan keberkesanan usaha berterusan industri dalam memperkukuh sistem perlindungan pelanggan.
Sementara itu katanya, empat fokus utama terus diberi keutamaan dalam melindungi dana pelanggan termasuk kemudahan Money Lock atau Money Vault.
Selain itu, penggunaan sistem Malware Shielding digunakan bagi menghalang ancaman perisian hasad, manakala fungsi ‘Kill Switch’ digunakan bagi memperkasa pelanggan serta meningkatkan kesedaran keselamatan melalui kemudahan semakan layan diri dalam aplikasi perbankan.
Beliau berkata, lebih RM600 juta aset pelanggan kini dilindungi menerusi kemudahan Money Lock dan Money Vault, manakala sistem perlindungan perisian hasad berjaya menyekat lebih 60,000 cubaan penipuan sebelum menyebabkan kerugian.