
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Sebanyak RM2.3 bilion diperuntukan untuk membina dan menyelenggara kuarters penjawat awam termasuk polis, doktor, tentera.
- Bahagian Pengurusan Hartanah dinaik taraf kepada Jabatan Hartanah Negara bagi memperkukuh pengurusan perumahan penjawat awam.
- Rumah Keluarga Angkatan Tentera di Skudai dan kuarters baharu di Langkap serta Papar dibina, manfaatkan hampir 900 anggota dengan kos lebih RM500 juta.
- Kadar elaun RELA, bomba bantuan, sukarelawan polis dan pertahanan awam dinaikkan kepada RM9 sejam, penyelia RM10.80; Ex-Gratia waris one-off maksimum RM50,000.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata untuk itu peranan Bahagian Pengurusan Hartanah dinaik taraf kepada Jabatan Hartanah Negara bagi memperkukuh pengurusan perumahan penjawat awam.
“Penghargaan setulusnya kepada 1.6 juta penjawat awam atas jasa bakti dalam melunas amanah Berkhidmat Untuk Negara.
“Mereka penggerak tekad MADANI untuk mengangkat martabat, darjat dan harakat negara ini ke mercu jaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) akan dibina di Skudai, Johor serta kuarters baharu di Depot Tahanan Imigresen Langkap di Perak dan Papar, Sabah yang memanfaatkan hampir 900 anggota dengan kos lebih RM500 juta.
Dalam pada itu kadar elaun bagi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), bomba bantuan, sukarelawan polis dan sukarelawan pertahanan awam juga akan dinaikkan kepada RM9 sejam bagi kategori petugas sukarelawan dan RM10.80 sejam bagi kategori penyelia.
Peruntukan sebanyak RM339 juta itu akan memanfaatkan hampir 50,000 sukarelawan.
Sementara itu bayaran faedah Ex-Gratia Waris Pukal one-off ditingkatkan daripada RM20,000 kepada maksimum RM50,000, tertakluk tempoh perkhidmatan.
“Ini merupakan tambahan selain faedah Ex-Gratia Waris Bulanan bagi kes kematian akibat kemalangan bencana kerja yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026,” katanya lagi.