RM750 juta bina kediaman mahasiswa, FlySiswa naik RM500

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan akan bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi mempercepat pelaksanaan projek kediaman mahasiswa, termasuk pelaburan RM750 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menerusi projek Vista Kampus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek Vista Kampus bina kediaman mahasiswa di enam universiti termasuk UniSZA dan UiTM.
  • Fasa 1 Residensi Mahasiswa Universiti Malaya dijangka siap 2031, manfaatkan kira-kira 10,000 mahasiswa.
  • Program Dapur Siswa MADANI diluaskan ke politeknik dan IPG, peruntukan RM20 juta, Menu Kasih Siswa pada RM5.
  • Bantuan tiket FlySiswa MADANI dinaikkan kepada RM500 daripada RM400, dijangka memanfaatkan lebih 60,000 penuntut IPTA.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, projek Vista Kampus melibatkan pembinaan kediaman siswa di enam universiti terpilih, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).

“Selain itu, Fasa 1 Residensi Mahasiswa Universiti Malaya (UM) dijadual siap pada 2031 dan dijangka memberi manfaat kepada 10,000 mahasiswa universiti berkenaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Dalam usaha menangani kos sara hidup mahasiswa, kerajaan turut memperluas Program Dapur Siswa MADANI ke politeknik dan institut pendidikan guru (IPG), dengan peruntukan RM20 juta.

Program itu menyediakan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa pada harga RM5 bagi membantu mahasiswa mendapatkan makanan pada harga berpatutan.

Kerajaan juga akan memberikan potongan cukai kepada pihak yang menyumbangkan makanan dan peralatan bagi tujuan berkenaan, bagi tempoh 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.

Sementara itu, bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI 2027 dinaikkan kepada RM500 berbanding RM400 sebelum ini, sekali gus dijangka memanfaatkan lebih 60,000 penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.