
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan bersetuju menaikkan jumlah kelayakan cuti bersalin sepanjang tempoh perkhidmatan daripada 360 hari kepada 490 hari.
- Kadar cuti bersalin meningkat kepada maksimum 98 hari setiap kelahiran.
- RM20 juta disediakan untuk menambah baik pusat penjagaan anak di fasiliti kerajaan.
- Kadar pencen terendah dinaikkan kepada RM1,350 sebulan, memberi manfaat hampir 59,000 pesara dan veteran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
“Bermakna, kadar cuti bersalin meningkat kepada maksimum 98 hari setiap kelahiran. Sebanyak RM20 juta pula disediakan bagi menambah baik pusat penjagaan anak di fasiliti kerajaan,” katanya.
Belanjawan 2027 yang bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ merupakan belanjawan kedua bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), yang menjadi kerangka pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Dalam pada itu bagi mengiktiraf pegawai cemerlang yang menunggu kenaikan pangkat susulan perjawatan yang terhad, kerajaan bersetuju melaksanakan kenaikan pangkat one-off secara Khas Untuk Penyandang kepada 12,000 pegawai Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P).
Selain itu Perdana Menteri turut mengumumkan kadar pencen terendah akan dinaikkan kepada RM1,350 berbanding RM1,000 sebulan.
“Ini akan memberi manfaat kepada hampir 59,000 pesara, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penerima pencen terbitan,” katanya lagi.