
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Akta Pengangkutan Jalan 1987 sedia dipinda bertujuan mewajibkan pemandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah yang mengakibatkan kemalangan membayar pampasan kepada mangsa.
- Penguatkuasaan diperketat namun 28 kes maut setakat Ogos menunjukkan pelanggaran masih membimbangkan.
- Telematik diwajibkan pada kenderaan perdagangan untuk pantau kelajuan, lokasi dan corak pemanduan berisiko, disambung kepada pengesan alkohol sebelum bergerak.
- Pelaksanaan sukarela sehingga 2027 sementara pangkalan data dibangunkan; PERKESO akan beri baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu perdagangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentang Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat memaklumkan langkah lebih tegas diambil memandangkan penguatkuasaan telah diperketat, namun pelanggaran peraturan masih membimbangkan.
“Setakat Ogos lepas, 28 kes maut akibat pemandu mabuk atau di bawah pengaruh dadah,”katanya.
Datuk Seri Anwar turut memaklumkan sistem telematik akan diwajibkan dipasang pada kenderaan perdagangan bagi memantau kelajuan, lokasi serta corak pemanduan berisiko termasuk menghubungkan dengan alat pengesan alkohol sebelum pemandu memulakan perjalanan.
“Pelaksanaan secara sukarela dibuat hingga 2027, sementara kerajaan sedang membangunkan pangkalan data untuk penguatkuasaan.
“Bagi mengesan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan memandu pula, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bakal menyediakan baucar pemeriksaan kesihatan kepada pemandu kenderaan perdagangan,”katanya lagi.