Bursa Sosial, platform telus salur sumbangan korporat kepada NPO

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Mei Pelancaran Bursa Sosial dilihat mampu memperkukuh sumbangan pasaran modal kepada sektor sosial melalui penyaluran dana secara lebih telus dan tersusun.

RINGKASAN BERITA AI
  • SC lancarkan Bursa Sosial untuk menarik sumbangan korporat menyalurkan dana kepada NPO melalui platform pertukaran sosial.
  • Penekanan pada kerjasama antara pasaran modal, kerajaan, sektor swasta dan organisasi sosial bagi menangani cabaran seperti peluang pekerjaan Gen Z dan perubahan iklim.
  • Kerajaan peruntuk RM2 juta untuk sokong NPO menyertai Bursa Sosial, dan akan nilai impak sebelum pertimbangkan sokongan tambahan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata inisiatif oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) itu memanfaatkan keupayaan pasaran modal bagi menarik penyertaan syarikat korporat dalam menyalurkan sumbangan kepada sektor ketiga atau Pertubuhan Bukan Untung (NPO).

“Kami mempunyai sektor sosial yang memerlukan sumbangan dan SC menggunakan keupayaan sedia ada untuk menarik penyertaan serta sumbangan daripada syarikat korporat. Melalui SC dan platform pertukaran sosial ini, sumbangan dapat disalurkan kepada sektor ketiga iaitu sektor bukan keuntungan.”

“Namun, pada masa hadapan, kami juga berharap dapat melihat lebih banyak kerjasama antara pasaran modal dengan pelbagai sektor yang menangani cabaran sosial. Cabaran sosial yang kita hadapi, seperti yang saya nyatakan dalam ucapan tadi ialah Malaysia mempunyai populasi yang muda berbanding banyak negara Asia lain, khususnya negara-negara di Asia Timur,” kata Liew selepas melancarkan Bursa Sosial, di sini, hari ini.

Tambah beliau, Malaysia perlu memastikan generasi Z (Gen Z) mendapat peluang pekerjaan, gaji yang baik serta mobiliti sosial yang lebih kukuh.

Selain itu, isu perubahan iklim dan cabaran sosial lain turut memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan organisasi sosial.

Beliau turut menekankan kepentingan memperluas peranan sektor ketiga yang bukan sahaja melibatkan NPO tetapi juga perusahaan sosial yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Sementara itu, mengulas peruntukan awal sebanyak RM2 Juta oleh kerajaan bagi menyokong NPO yang menyertai platform Bursa Sosial, jelasnya kerajaan akan menilai impak pelaksanaannya terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sokongan tambahan pada masa akan datang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.