
KUALA LUMPUR, 25 Mei – Inisiatif Sustainable Rebate and Incentive Assistance (SuRIA) yang diperkenalkan kerajaan diyakini mampu menjana peluang dalam kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai sehingga RM1 bilion.
- SuRIA menawarkan rebat RM600 setiap 1kWac, peruntukan RM150 juta, berpotensi menyokong sehingga 250MWac kapasiti solar kediaman.
- Program dijangka manfaatkan 45,000 hingga 50,000 rumah, memperluas penggunaan solar bumbung di seluruh negara.
- Walaupun rebat lebih rendah daripada SolaRIS, SuRIA dijangka mempercepat penerimaan solar bumbung susulan kenaikan kos tenaga grid.
Pada masa sama, ia akan menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan pemasangan solar kediaman.
Menurut TA Securities Holdings Bhd, program SuRIA yang menawarkan rebat RM600 bagi setiap 1kWac pemasangan solar dengan jumlah peruntukan RM150 juta berpotensi menyokong sehingga 250MWac kapasiti solar kediaman baharu.
“Kami percaya inisiatif SuRIA mampu mempercepat penggunaan solar bumbung kediaman, meskipun rebat yang ditawarkan lebih rendah berbanding insentif RM1,000 bagi setiap kWac di bawah SolaRIS dengan had maksimum RM4,000.
“Selain itu, kami percaya inisiatif SuRIA dilaksanakan pada masa yang tepat susulan peningkatan kos tenaga grid akibat krisis bekalan tenaga global,” katanya dalam satu nota kajian.
Program itu juga dijangka memberi manfaat kepada antara 45,000 hingga 50,000 rumah dengan kapasiti solar terkumpul sekitar 250 megawatt (MW), sekali gus memperluas penggunaan solar bumbung kediaman di seluruh negara.
Berdasarkan unjuran terkini Tenaga Nasional Berhad (TNB) setakat 30 April 2026, kadar Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) dijangka berubah daripada rebat -0.47 sen/kWh pada April kepada surcaj +1.38 sen/kWh pada Mei dan +2.92 sen/kWh pada Jun 2026 berbanding rebat sehingga -4.99 sen/kWh yang dinikmati pengguna pada awal tahun ini.
Bagaimanapun mekanisme AFA hanya terpakai kepada isi rumah dengan penggunaan elektrik melebihi 600kWh sebulan.
Dari sudut industri, potensi pemasangan solar kediaman sebanyak 250MWac bawah SuRIA dijangka diterjemahkan kepada prospek kerja EPCC bernilai antara RM875 juta hingga RM1 bilion.