
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026 membuktikan ekonomi Malaysia masih mempunyai asas domestik yang kukuh meskipun berdepan persekitaran global yang semakin mencabar.
- Permintaan domestik, termasuk penggunaan isi rumah, perbelanjaan fiskal dan pelaburan tetap, terus menjadi pemacu utama aktiviti ekonomi.
- Tekanan kos pada perniagaan meningkat, namun penggunaan swasta dan rantaian bekalan kekal rancak serta menyokong kesinambungan ekonomi.
- Penyederhanaan momentum dilihat sebagai normalisasi selepas tahap pertumbuhan yang tinggi, bukan petanda kelemahan struktur.
- Prospek disokong oleh ketahanan penggunaan, pelaksanaan SSPA, pelaburan AI dan pusat data, serta penstabilan perdagangan global.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata, prestasi itu menunjukkan enjin pertumbuhan domestik negara terus berfungsi dengan baik, didorong penggunaan isi rumah, perbelanjaan fiskal kerajaan serta pelaburan tetap.
“Walaupun sektor perniagaan mula berdepan tekanan kos yang lebih tinggi, penggunaan swasta dan aktiviti ekonomi domestik kekal rancak, sekali gus memastikan kelancaran rantaian bekalan serta kesinambungan transmisi ekonomi negara,” katanya kepada pemberita RTM.
Mengulas lanjut, katanya momentum pertumbuhan yang mula menunjukkan penyederhanaan secara beransur-ansur bukan petunjuk sebagai kelemahan struktur ekonomi.
Sebaliknya, situasi itu dilihat sebagai proses normalisasi susulan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.3 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2025.
“Bagi prospek masa hadapan, momentum pertumbuhan dijangka terus disokong oleh ketahanan penggunaan, pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), serta pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI), pusat data dan sektor semikonduktor, selain penstabilan dalam perdagangan global serta landskap geopolitik,” katanya lagi.
Menjelang suku kedua 2026, IPPFA Sdn Bhd mengunjurkan ekonomi negara masih mampu mengekalkan pertumbuhan yang stabil, namun pada kadar lebih sederhana berbanding suku pertama.
Menurutnya, unjuran asas syarikat pelaburan itu kekal sekitar 4.6 peratus bagi keseluruhan 2026, dengan permintaan domestik terus berperanan sebagai penyerap utama terhadap kejutan luaran.
“Kami melihat asas domestik di bawah kerangka Ekonomi MADANI ketika ini cukup kukuh untuk mengekalkan pertumbuhan tanpa terlalu bergantung kepada kitaran permintaan luar,” katanya.
Semalam, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.
Kadar itu sekali gus melebihi anggaran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 peratus.