SKP pertingkat kesiapsiagaan menjelang kebenaran operasi Akta Kredit Pengguna 2025

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) terus mempergiatkan aktiviti libat urus industri bagi meningkatkan kesiapsiagaan menjelang pelaksanaan proses kebenaran beroperasi merangkumi pelesenan dan pendaftaran di bawah Akta Kredit Pengguna (AKP) 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesi taklimat industri dua hari membantu penyedia kredit bukan kawal selia memahami keperluan dan membuat persediaan patuh sebelum pelaksanaan pada Jun 2026.
  • Fasa 1 AKP merangkumi enam aktiviti kawal selia: BNPL, pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman terjejas dan kaunseling hutang.
  • Peserta industri yang dikenal pasti akan dihubungi terus oleh SKP untuk menyertai sesi taklimat.
  • Pelesenan dan pendaftaran berkuat kuasa 1 Jun 2026 dengan tempoh peralihan enam bulan, kegagalan mematuhi boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Suruhanjaya itu dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha itu sebagai langkah penting dalam mewujudkan rangka kerja kawal selia lebih tersusun bagi penyedia kredit dan penyedia perkhidmatan kredit bukan bank.

Ke arah itu, SKP bakal mengadakan sesi taklimat industri yang akan berlangsung selama dua hari, bermula Isnin ini.

”Sesi itu bertujuan membantu industri kredit yang sebelum ini tidak tertakluk di bawah mana-mana kawal selia khusus untuk memahami keperluan ditetapkan serta membuat persediaan awal bagi pematuhan menjelang pelaksanaan kebenaran beroperasi pada Jun 2026.

“Di bawah Fasa 1 pelaksanaan AKP, enam aktiviti perniagaan dalam skop kawal selia iaitu skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL), pemfaktoran, pajakan, kutipan hutang, pemerolehan pinjaman atau pembiayaan terjejas serta kaunseling dan pengurusan hutang,” menurut kenyataan dari laman sesawang SKP.

Tambahnya, peserta industri yang telah dikenal pasti akan dihubungi secara terus oleh pihak SKP untuk menyertai sesi taklimat berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif SKP, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata suruhanjaya itu komited untuk memastikan semua peserta industri memahami tanggungjawab di bawah AKP serta bersedia menghadapi pelaksanaan rangka kerja kawal selia baharu itu.

“Penglibatan awal dan secara berterusan bersama industri akan membantu memastikan kelancaran proses peralihan serta menyokong pembangunan industri kredit pengguna yang lebih telus dan berintegriti.

“SKP komited dalam membangunkan ekosistem yang berteraskan standard pelakuan yang tinggi, di samping memastikan rangka kerja kawal selia yang seimbang bagi menyokong pertumbuhan mampan serta inovasi yang bertanggungjawab,” katanya.

Keperluan pelesenan dan pendaftaran di bawah AKP akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun, 2026 dengan tempoh peralihan selama enam bulan untuk mengemukakan permohonan lesen atau pendaftaran yang berkaitan.

Kegagalan pemain mematuhi keperluan tersebut boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh SKP. Untuk maklumat lanjut mengenai AKP, layari www.skp.gov.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.