Robotik, automasi TVET pemacu utama peluang kerja belia

Foto TVET MARA Balik Pulau

KUALA LUMPUR, 16 Mei – Bidang robotik dan automasi mampu menjadi pemacu utama dalam membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada generasi muda negara, selaras dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan keperluan tenaga mahir masa depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • TVET MARA Balik Pulau menjadi institusi pertama Malaysia dan Asia Tenggara menawarkan sijil kompetensi robot FANUC.
  • Persijilan dan kemahiran robotik meningkatkan kebolehpasaran graduan serta peluang pendapatan lebih tinggi berdasarkan pengiktirafan kepakaran.
  • Kerjasama pendidikan dan industri, pendedahan peralatan sebenar dan pertandingan robotik sekolah membina tenaga mahir yang relevan industri.

Kolej Kemahiran Tinggi Mara Balik Pulau (TVET MARA Balik Pulau) mencipta sejarah apabila menjadi institusi pertama di Malaysia dan Asia Tenggara menawarkan sijil kompetensi robot FANUC menerusi kerjasama dengan syarikat industri global, FANUC.

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik TVET MARA Balik Pulau, Mohd Rozaimi Ismail berkata, pengiktirafan tersebut mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan selain memberi peluang memperoleh pendapatan lebih tinggi berdasarkan kepakaran dimiliki.

Menurut beliau, bidang robotik industri kini menjadi antara fokus utama kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang relevan dengan kehendak industri semasa.

“Persijilan ini merupakan yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara. Kompetensi robotik merupakan bidang yang sangat relevan pada masa akan datang dan ia akan membantu graduan mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang lebih tinggi berdasarkan pengiktirafan kepakaran yang mereka miliki,” katanya.

Mohd Rozaimi turut menggalakkan pelajar yang berminat dalam bidang robotik, automasi industri dan kejuruteraan sistem integrator supaya merebut peluang melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

Foto TVET MARA Balik Pulau

Sementara itu, Penolong Pengurus Pendidikan dan Teknikal FANUC Mechatronics Malaysia Sdn Bhd, Muhamad Aiman Ab Wahab berkata, negara masih memerlukan lebih ramai tenaga mahir tempatan bagi memenuhi permintaan industri automasi dan robotik yang berkembang pesat.

Katanya, kerjasama erat antara sektor pendidikan dan industri amat penting bagi memastikan pelajar didedahkan dengan teknologi sebenar serta peralatan industri sejak di bangku sekolah lagi.

Menurut beliau, pihak industri juga mengambil inisiatif memperkenalkan pertandingan robotik industri peringkat sekolah menengah bagi melahirkan bakat awal dan memudahkan pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran pekerjaan sebenar pada masa depan.

“Apa yang industri mahukan ialah tenaga kerja yang benar-benar bersedia dengan teknologi semasa. Sebab itu kami masuk ke sektor pendidikan untuk melatih pelajar menggunakan peralatan industri sebenar sejak sekolah menengah lagi supaya mereka lebih mudah menyesuaikan diri apabila memasuki alam pekerjaan,” katanya.

Tambah beliau, usaha itu juga selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar gaji dan kebolehpasaran graduan TVET menerusi penguasaan kemahiran berimpak tinggi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.