
KUALA LUMPUR, 16 Mei- Kerajaan bercadang melanjutkan tempoh pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Makanan (IPR-INSAN) bagi memastikan kesinambungan manfaat kepada golongan B40 dan asnaf.
- Lebih 700 peserta aktif menyertai program hingga Mac 2026, menyediakan mesin layan diri makanan dan minuman di seluruh negara.
- Sebanyak 1,125 mesin ditempatkan; 712 peserta catat pendapatan melebihi RM2,000 sebulan; jualan kumulatif RM20.46 juta.
- Kementerian Ekonomi menyediakan mesin dan subsidi sewa penuh selama 24 bulan melalui kerjasama dengan MAIWP.
- MAIWP salurkan bantuan modal permulaan, kenal pasti 50 usahawan asnaf untuk bimbingan keusahawanan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan selepas perbincangan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi memperkukuh pelaksanaan program di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
“Insya-Allah, Kementerian Ekonomi akan mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk melanjutkan tempoh program ini bagi dua tahun lagi,” katanya.
Setakat Mac 2026, lebih 700 peserta aktif telah menyertai program berkenaan yang menyediakan mesin layan diri makanan dan minuman di seluruh negara.
Menurut beliau, sebanyak 1,125 mesin layan diri telah ditempatkan dengan 712 peserta mencatatkan pendapatan melebihi RM2,000 sebulan, manakala jumlah jualan kumulatif mencecah RM20.46 juta.
“Ini menunjukkan program ini memberi kesan langsung kepada peningkatan pendapatan peserta,” katanya pada Majlis Perasmian Kerjasama Strategik Kementerian Ekonomi dan MAIWP di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini.
Di bawah kerjasama itu, Kementerian Ekonomi menyediakan mesin layan diri serta subsidi sewa penuh selama 24 bulan, manakala MAIWP menyalurkan bantuan modal permulaan kepada peserta asnaf yang layak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata MAIWP telah mengenal pasti 50 usahawan asnaf untuk dibimbing melalui bantuan modal, kemahiran dan pengetahuan keusahawanan.
Sehingga 15 Mei 2026, MAIWP telah mengagihkan RM449.8 juta dana zakat melibatkan 38 skim bantuan termasuk pembangunan asnaf dan institusi pendidikan.