
KUALA LUMPUR, 16 Mei – Pasaran getah diunjur tidak menentu dengan kecenderungan lebih rendah minggu depan berikutan keadaan rantaian bekalan yang terhad, kata pakar industri Denis Low.
- Ketidakpastian gencatan senjata di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz menjejaskan bekalan dan memberi implikasi serius kepada banyak negara.
- Bekalan terhad berpotensi mendorong harga tinggi serta mendorong aktiviti menyimpan stok dan pencatutan apabila pasaran menolak harga tidak mampan.
- Ketidaktentuan ekonomi dan risiko geopolitik boleh menjejaskan kestabilan institusi monetari serta menyebabkan rejim kadar pertukaran tidak menentu.
- Turun naik harga minyak dan dolar AS yang tidak menentu mungkin memberi kesan kepada harga getah dan komoditi lain.
Beliau berkata sentimen perniagaan global terus dilanda ketidakpastian mengenai gencatan senjata di Asia Barat manakala Selat Hormuz terus ditutup kepada banyak kapal, menjejaskan bekalan dan berpotensi menyebabkan implikasi yang serius bagi kebanyakan negara.
Menurutnya bekalan yang terhad boleh mendorong harga yang tinggi manakala kegiatan menyimpan bekalan dan pencatutan mungkin berlaku apabila pasaran mula menolak harga yang tinggi.
“Sehubungan itu, kami yakin pasaran getah akan kekal tidak menentu namun berkecenderungan rendah sedikit terutamanya kerana pembeli dan pengguna getah menolak harga tinggi yang tidak mampan,” kata Low.
Beliau berkata ketidaktentuan ekonomi dan risiko geopolitik boleh menjejaskan kestabilan institusi monetari sekali gus menyebabkan rejim kadar pertukaran yang tidak menentu.
“Oleh itu, kita perlu berwaspada mengenai harga minyak yang turun naik dan dolar AS yang tidak menentu, yang mungkin memberi kesan kepada harga getah dan komoditi lain,” kata Low.
Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi Getah Mutu Malaysia atau SMR 20 menyusut tiga sen kepada 879.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 19.5 sen kepada 775.5 sen sekilogram.- BERNAMA