
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Peruntukan RM22 bilion diterima masing-masing Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan pada Belanjawan 2027.
- Peruntukan RM7.1 bilion untuk membeli dan menyelenggara aset angkatan tentera, polis dan badan beruniform di bawah KDN.
- Kerajaan bersetuju membina fasiliti baharu termasuk Ibu Pejabat Maritim Johor, Kompleks Batalion 19 PGA, Pejabat Imigresen Keningau dan tiga balai polis.
- RM490 juta untuk Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan; ujian dadah dan alkohol diwajibkan, 48 mesin pengimbas badan dan bagasi dipasang di beberapa lapangan terbang.
RM7.1 bilion daripada jumlah berkenaan, dikhususkan untuk membeli dan menyelenggara aset-aset angkatan tentera, polis dan badan beruniform di bawah KDN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan turut bersetuju untuk membina beberapa fasiliti baharu.
“Antaranya Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Johor di Tanjung Kupang; Kompleks Batalion 19 PGA Cheras, Pejabat Imigresen Keningau di Sabah dan tiga balai polis baharu di Sungai Rambai, Melaka, Tanjung Malim di Perak dan Batu Lintang di Sri Aman, Sarawak.
“Sebanyak RM490 juta diperuntukkan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), saringan keselamatan di lapangan terbang bakal diperketat termasuk mewajibkan ujian dadah dan alkohol kepada juruterbang serta kru penerbangan.
“48 mesin pengimbas badan dan bagasi baharu akan dipasang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu,” katanya.