
KUALA LUMPUR, 12 Mei – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan 25 tindakan sitaan terhadap penjawa warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen menerusi operasi khas di sekitar Jalan Sultan, Jalan Leboh Pudu dan Jalan Tun Tan Siew Sin (Jalan Silang), bermula 7 hingga 10 Mei lalu.
- Operasi dilaksanakan susulan pemantauan dan rondaan harian di kawasan tumpuan aktiviti perniagaan warga asing.
- Tindakan diambil terhadap premis restoran yang meletakkan kerusi, meja dan gerai di laluan awam sehingga menghalang pergerakan.
- Semua barangan dan peralatan sita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi.
- DBKL akan meneruskan penguatkuasaan dan pemantauan; orang ramai digalakkan menyalurkan aduan melalui saluran rasmi.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu dilaksanakan susulan pemantauan dan rondaan harian di kawasan tumpuan aktiviti perniagaan warga asing, termasuk penjualan sireh, rokok putih, makanan, buah potong dan aksesori.
Menurut DBKL, tindakan turut diambil terhadap premis restoran yang didapati meletakkan kerusi, meja dan gerai di laluan awam sehingga menghalang pergerakan orang ramai.
“Hasil pemantauan dan tindakan yang dijalankan, sebanyak 25 tindakan sita dilaksanakan terhadap penjaja warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Selain itu, enam notis kompaun turut dikeluarkan kepada premis restoran atas kesalahan meletakkan peralatan perniagaan di tempat awam mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974,” menurut kenyataan itu.
Kesemua barangan dan peralatan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL bagi tujuan rekod dan dokumentasi.
DBKL turut menegaskan, tindakan penguatkuasaan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan awam bebas daripada aktiviti perniagaan tanpa lesen dan halangan di laluan pejalan kaki.
Orang ramai juga diminta menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan aktiviti berkenaan menerusi saluran rasmi DBKL.