
KUALA LUMPUR, 14 Mei – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan melancarkan Pelan Strategik MAIWP 2026-2030 sebagai panduan pelaksanaan yang lebih menyeluruh dan berfokus.
- Menekankan kelestarian, adaptasi dan kesiapsiagaan menghadapi cabaran masa depan termasuk krisis tenaga global yang tidak menentu.
- Memastikan bantuan dan solusi disalurkan memberi impak nyata serta memenuhi keperluan sebenar masyarakat.
- Kerangka seiring dasar Kerajaan MADANI, RMK-13 dan matlamat pembangunan mampan, merangkumi teras, pemacu, strategi, inisiatif dan indikator prestasi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata ia akan memperkukuh peranan MAIWP dalam membantu masyarakat mendepani cabaran masa depan yang semakin kompleks termasuk krisis tenaga global yang tidak menentu.
“Perkara yang ditekankan dalam pelan ini ialah aspek kelestarian. Jadi kita memang sudah melihat bagaimana pelan tersebut mampu beradaptasi dengan perubahan yang ada dan sentiasa bersedia menilai perkembangan yang berlaku dari semasa ke semasa.
“Pada masa yang sama, pelbagai solusi akan terus ditawarkan kepada rakyat bagi memastikan setiap bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak serta memenuhi keperluan sebenar masyarakat”, katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Anugerah Perkhidmatan Setia 25 tahun kepada 370 warga MAIWP di ibu negara.
Tambahnya, kerangka pelan itu menggabungkan dasar Kerajaan MADANI, Rancangan Malaysia Ke-13 dan matlamat pembangunan mampan serta melibatkan tiga teras strategik, empat pemacu utama, 34 strategi, 75 inisiatif dan 128 indikator prestasi.
Sepanjang tahun 2025, jumlah kutipan zakat MAIWP mencecah RM1.205 bilion, manakala agihan kepada asnaf berjumlah RM1.22 bilion.
Sehingga 12 Mei lalu, lebih RM447 juta dana zakat telah diagihkan meliputi 38 skim bantuan termasuk program pembangunan asnaf dan institusi pendidikan di bawah MAIWP.