
SEPANG, 15 Mei – 54 kapal Misi Global Sumud Frotila (GSF) 2026 mula berlepas dari Pelabuhan Marmaris di Turkiye menuju Gaza yang memasuki fasa akhir misi berkenaan.
- Misi melibatkan 45 negara peserta dan hampir 500 aktivis.
- Misi mendapat sokongan penuh kerajaan Malaysia terutama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, juga Turkiye, Sepanyol dan Brazil.
- Seramai 29 peserta Malaysia terdiri profesional pelbagai bidang, termasuk kapten, pembantu kapten, kru dan pegawai perubatan.
- SNCC akan umum pelan tindakan strategik melibatkan mobilisasi rakyat, advokasi parlimen, tekanan diplomatik, solidariti media dan tindakan perundangan global.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pelayaran yang berlepas kira-kira 7.30 malam waktu Malaysia pada Khamis melibatkan 45 negara peserta yang terdiri hampir 500 aktivis.
Menurutnya, misi kali ini mendapat sokongan penuh khususnya daripada kerajaan Malaysia khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara Turkiye, Sepanyol dan Brazil.
“Seramai 29 peserta Malaysia meneruskan pelayaran dari pelabuhan Marmaris yang terdiri daripada tenaga profesional, pelbagai bidang dan mereka ini membawa komitmen kepakaran dan peranan masing-masing”, katanya semasa sidang media di sini.
“Dua orang merupakan penganjur, dua orang rakyat Malaysia adalah kapten, lima orang pembantu kapten, lima orang kru, 11 orang pegawai perubatan, seorang kru dokumentasi, dua orang peserta umum dan seorang juruteknik” tambahnya lagi.
Sementara itu, tiga peserta Malaysia iaitu Mohamad Aqil Asmadi, Mohamad Zurini Karim dan Hajah Sereba Mustafa Al-Bakri akan kembali ke tanah air selepas penyusunan semula operasi dilakukan sekali gus akan memperkukuh strategi operasi lapangan.
Menurutnya lagi, laluan dari Marmaris sehingga 30 batu nautika diklasifikasikan sebagai zon hijau, laluan 30 hingga 150 batu nautika adalah zon kuning, manakala laluan bermula 150 batu nautika sehingga memasuki perairan Gaza dikategorikan sebagai zon merah yang menandakan tahap risiko keselamatan paling kritikal.
Dalam pada itu, SNCC akan mengumumkan pelan tindakan strategik berskala besar pada Jumaat melibatkan mobilisasi rakyat, advokasi ahli parlimen, pengukuhan tekanan diplomatik antarabangsa, gerakan solidariti media serta tindakan perundangan global bagi memastikan isu kepungan dan pencabulan hak kemanusiaan di Gaza dan Palestin dibawa ke muka pengadilan.