BRICS : Malaysia seru perkukuh kerjasama ekonomi, depani isu rantaian bekalan dunia

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan/ Foto FB Datuk Seri Mohamad Hasan

NEW DELHI, 15 Mei Malaysia tegaskan keperluan untuk memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara anggota BRICS bagi menghadapi kelemahan seni bina global serta peningkatan risiko konflik geopolitik yang menjejaskan rantaian bekalan dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan sokongan aliran perdagangan intra dan pelaburan silang untuk membina rantaian bekalan pelbagai dan tahan terhadap kejutan ekonomi.
  • Perkukuh keterangkuman digital, tadbir urus dan pembangunan kemahiran supaya AI dan fintech manfaatnya dikongsi secara saksama.
  • New Development Bank dan institusi kewangan lain perlu menyokong pembiayaan hijau yang adil dan responsif bagi negara-negara Global South.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai kelompok yang mewakili ekonomi paling produktif, BRICS memiliki keupayaan besar untuk membina daya tahan global yang lebih mampan.

“Keutamaan harus diberikan kepada usaha menyokong aliran perdagangan intra dan pelaburan silang bagi mewujudkan rantaian bekalan yang pelbagai serta mampu bertahan daripada sebarang kejutan ekonomi.”

“Selain itu, kepentingan keterangkuman digital bagi memastikan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem fintech (teknologi kewangan) tidak melebarkan jurang ketidaksamaan dan Malaysia melihat nilai yang signifikan dalam kerjasama lebih mendalam bersama BRICS menerusi tadbir urus digital dan pembangunan kemahiran supaya manfaat inovasi dapat dikongsi secara saksama,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negara Rakan BRICS 2026.

Tambah beliau, peranan institusi kewangan seperti New Development Bank disifatkan kritikal dalam memastikan pembiayaan hijau lebih adil dan responsif terhadap keperluan negara-negara Global South.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa ASEAN kini menjadi rantau neutral dan dinamik yang menawarkan alternatif menarik bagi pelabur yang mencari kepelbagaian pasaran sekali gus mampu memperkukuh kerjasama strategik antara kedua blok ekonomi ini khususnya dalam memajukan infrastruktur berkualiti serta pertumbuhan hijau.

Malaysia merupakan negara rakan organisasi tersebut yang dianggotai oleh Brazil, China, Mesir, Ethiopia, India, Indonesia, Iran, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan dan Emiriah Arab Bersatu.

India akan menjadi tuan rumah bagi sidang kemuncak pemimpin kumpulan itu pada akhir tahun ini.