Peruntukan awal RM100,000 susulan kebakaran SMK Putrajaya Presint 14 (1)

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut hadir ke SMK Putrajaya Presint 14 (1) bagi meninjau kebakaran yang berlaku – Foto FB Fadhlina Sidek

PUTRAJAYA, 14 Mei – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengarahkan pemberian peruntukan awal berjumlah RM100,000 kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14 (1) yang terbakar lewat petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sesi psikososial akan diadakan esok untuk warga sekolah bagi mengingatkan langkah keselamatan.
  • Kebakaran berlaku pada 6.10 petang melibatkan kerusi dan meja di stor dewan.
  • Menteri meninjau lokasi, menerima taklimat bomba dan memuji kepantasan pasukan penyelamat; KPM tekankan keselamatan warga sekolah.

Beliau berkata, bantuan itu diberi bagi tujuan kerja-kerja pembersihan awal selepas siasatan oleh bomba selesai.

“Mulai esok (Jumaat), Bahagian Pengurusan Sekolah Harian akan mengadakan sesi psikososial bersama warga sekolah untuk mengingatkan tentang langkah-langkah keselamatan di sekolah.

“Semoga warga SMK Putrajaya P14 diberikan kesabaran menghadapi ujian ini dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan sentiasa memastikan keselamatan warga sekolah menjadi keutamaan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut menerima taklimat daripada pihak bomba mengenai kebakaran dewan SMK Putrajaya Presint 14 (1) – Foto FB Fadhlina Sidek

Terdahulu, dewan SMK Putrajaya Presint 14 (1) mengalami kebakaran pada pukul 6.10 petang melibatkan kerusi dan meja yang disimpan di stor dewan berkenaan.

Fadhlina berkata, sebaik sahaja mendengar berita kebakaran itu, beliau bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat situasi.

“Alhamdulillah, pasukan bomba telah selesai memadamkan kebakaran sepenuhnya. Saya juga telah menerima taklimat daripada pihak bomba sepenuhnya.

“Terima kasih diatas kepantasan dan kecekapan bomba dan pegawai penyiasat yang berada di tempat kejadian,” katanya.