
PUTRAJAYA, 14 Mei – Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14 (1) mengalami kebakaran melibatkan kerusi dan meja yang disimpan di bahagian belakang pentas petang tadi.
- Panggilan kecemasan diterima pada pukul 6.10 petang.
- 12 anggota JBPM terlibat; api dipadam sepenuhnya pada pukul 8.40 malam.
- Dewan dinilai tidak selamat selepas kebakaran.
- Tiada mangsa cedera dilaporkan; punca kebakaran masih dalam siasatan; Unit K9 digunakan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Putrajaya, Muhammad Haziq Hazni berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian diterima pada pukul 6.10 petang.

“Kebakaran melibatkan sebuah dewan dan hanya di bahagian stor sahaja. Kebakaran telah melibatkan kerusi dan meja.
“Dari segi penilaian, buat masa ini dewan masih tidak selamat kesan daripada kebakaran yang berlaku,” katanya ketika ditemui RTM di lokasi kejadian.
Menurut beliau, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana sesi persekolahan telah tamat.

Muhammad Haziq berkata, seramai 12 anggota terlibat dalam operasi pemadaman berkenaan dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 8.40 malam.
Menurutnya, punca kebakaran masih dalam siasatan.