
JASIN, 14 Mei – Seorang lelaki maut selepas ditikam dalam pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada urusan jual beli perisa rokok elektronik (vape) “mushroom” di kawasan taman permainan di Taman Muhibbah, Merlimau di sini, semalam.
- Mangsa berusia 30 tahun ditikam sehingga paru-paru kanan ditembusi dan mengalami pendarahan di kepala; disahkan meninggal di Hospital Melaka.
- Mangsa kedua, 26 tahun, mengalami luka hirisan pada tangan dan rusuk serta calar muka; dirujuk ke Hospital Melaka selepas rawatan awal.
- Polis menahan empat suspek berusia antara 20 hingga 35, merampas pisau patah berkelar disyaki darah; tiga suspek positif methamphetamine; kes disiasat mengikut Seksyen 302.
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa berusia 30 tahun ditikam di bahagian belakang kanan badan hingga menembusi paru-paru kanan, selain mengalami kecederaan pendarahan di kepala.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada pukul 1.26 tengah hari tadi.
“Seorang lagi mangsa berusia 26 tahun mengalami kecederaan termasuk luka hirisan pada tangan kanan dan rusuk kanan serta calar pada muka. Polis menerima laporan berhubung kejadian itu malam tadi sebelum berjaya menahan empat suspek lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Supt Lee berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham ketika urusan jual beli perisa vape berkenaan sehingga menyebabkan suspek tidak berpuas hati sebelum bertindak menyerang mangsa menggunakan pisau.
Jelasnya, pergaduhan tercetus selepas salah seorang mangsa dipercayai menegur dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek.
“Suspek kemudian bertindak mengejar kedua-dua mangsa sebelum mencederakan mereka menggunakan pisau, manakala dua lagi suspek dipercayai memukul mangsa dengan tangan.
“Kedua-dua mangsa sempat melarikan diri dengan menaiki kereta sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merlimau dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka,” katanya.
Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan termasuk pakaian, telefon bimbit, sepasang selipar dan sebilah pisau patah yang mempunyai kesan disyaki darah bagi membantu siasatan.
Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif methamphetamine.
“Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Melaka esok bagi mengenal pasti punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.